
Oleh Lee Guan Hooi (Georgetown)
GEORGETOWN, 1 Feb (Malaysiaaktif) — Pulau Pinang pagi tadi mula melaksanakan Projek Perintis Pengasingan Sisa sebagai antara inisiatif untuk memupuk alam sekitar yang bersih.
Langkah tersebut adalah kesinambungan kepada tindakan mengharamkan penggunaan beg plastik percuma di pusat membeli-belah yang diikuti dengan kempen makan sampai habis bagi mengelakkan pembaziran makanan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata setakat ini Pulau Pinang telah mencapai kadar kitar semula sebanyak 32 peratus dan kini menyasarkan sekurang-kurangnya 40 peratus menjelang 2020.
Beliau berkata sampah yang pada mulanya menjadi lawan boleh bertukar menjadi kawan kerana ia boleh dijadikan satu sumber kewangan, Namun demikian, beliau berkata, sekiranya gagal diuruskan dengan baikan ia boleh menjadi lawan.
Pelancaran projek perintis ini disempurnakan oleh Lim pagi tadi di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini.
Terdahulu, EXCO Kerajaan Tempatan, Chow Kon Yeow dalam ucapannya berkata kerajaan Pulau Pinang sedang membuat persiapan ke arah penguatkuasaan dasar pengasingan sisa bermula 1 Jun 2016.
Menurut beliau, kaedah bersesuaian akan diguna pakai, seperti penyediaan tiga tong yang mengasingkan kertas, plastik dan logam serta dua aliran, iaitu mengasingkan bahan boleh kitar semula dan yang tidak boleh dikitar semula.