
Oleh Md Muhaimin Amran (Jasin)
JASIN, 31 Mei (Malaysiaaktif) – 24 pasukan professional tarik tali termasuk dari negara Singapura dan Brunei menyertai Kejohanan Tarik Tali Negeri Melaka 2016 kali yang ke-12, pada Ahad lalu.
Bertempat di Stadium Majlis Perbandaran Jasin, kejohanan yang berlangsung selama dua hari ini berjaya mengumpul pasukan serta peminat sukan tarik tali yang suatu ketika dahulu dianggap sebagai sukan tradisional.
Terbahagi kepada dua kategori utama iaitu Kategori Lelaki Terbuka Uniform dan Kategori Awam, masing-masing dimenangi oleh pasukan Harimau A daripada Malaysia dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, medal dan seekor kambing dan pasukan Red Giant MBSA menerima wang tunai RM2,500, medal dan seekor kambing.
Menurut Ahli Parlimen Jasin, Datuk Wira Ahmad Hamzah, program seumpama ini dapat memberi impak yang baik terutama dari segi ekonomi serta meningkatkan jumlah kedatangan pelancong.
“Kehadiran pasukan-pasukan dan peminat-peminat daripada luar negara juga dapat menyatukan serta mengeratkan hubungan di antara setiap pasukan,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.
Kejohanan ini mendapat kerjasama Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri Melaka, Persatuan Tarik Tali Malaysia, Kelab Tarik Tali Singapura (STWA) dan Kelab Tarik Tali Brunei Darussalam.
Turut hadir, Timbalan EXCO Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-pulau, Datuk Ghazale Mohamad; Presiden Persatuan Tarik Tali Malaysia, Datuk Haji Osman Haji Saleh; Pengerusi Persatuan Tarik Tali Negeri Melaka, Abd Halim Abd Ghani; Pengurus Tarik Tali Brunei, Haji Saleh Othman dan Presiden Kelab Tarik Tali Singapura, Terry Tan.
-DZ