
Oleh: Malini Md Yunos
PORT DICKSON, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak 57 unit rumah berkembar dan 1 unit rumah banglow dibina khusus untuk orang asli di Kampung Palebar Baru, Pasir Panjang
Kawasan perumahan berkeluasan 10 ekar dan dikelilingi sekitar 165 ekar ladang sawit ini turut disediakan dengan taman permainan, taman rekreasi, surau, tadika, gelanggang futsal dan rumah kedai.
Seramai 29 penerima orang asli telah diraikan dalam Majlis Penyerahan Kunci Rumah Kampung Palebar Baru, Pasir Panjang dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Mohammad bin Haji Hassan, hari ini. Setiap ketua isi rumah penerima kunci hari ini turut diberikan 5 ekar tanah ladang sawit dalam bentuk saham bertujuan membantu orang asli mendapatkan hasil tetap setiap bulan.
Menurut Mohamad Hasan, kerajaan Negeri Sembilan sentiasa membela masyarakat orang asli kerana melalui Dasar Perumahan Kerajaan Negeri Sembilan, semua pemaju yang ingin membangunkan kawasan perumahan diwajibkan membina sekurang-kurangnya 50% rumah harga mampu milik selaras dengan kepentingan memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat. Program hari ini menjadi penanda aras menunjukkan betapa kerajaan negeri tidak meminggirkan orang asli walaupun rakyat yang berbilang kaum, lain gaya bahasa dan cara hidup namun mendapat perhatian dan jaminan dari kerajaan negeri.
Menurut beliau lagi, kerajaan Negeri Sembilan akan memastikan semua perkampungan orang asli di Negeri Sembilan dilengkapi infrastruktur asas api dan air sehingga hujung tahun ini selain mewartakan sebanyak 68 buah perkampungan orang asli sebagai rizab hutan simpan.
Menurut Sekil b. Komboi, 48, penerima kunci rumah melahirkan rasa terharu kerana terpilih dan amat berterima kasih kepada Menteri Besar, JAKOA dan pemaju kerana membina rumah yang selesa selain lengkap infrastruktur asas api dan air. Beliau akan terus menyokong kerajaan sekarang kerana banyak jasa dan sumbangan yang telah diberikan khusus kepada orang asli yang tidak dapat dikecapi oleh pihak lain.
Turut sama dalam majlis ini Setiausaha dan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia, ADUN Kawasan, Pegawai Daerah dan Pengarah JAKOA Melaka/N.Sembilan.
Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kerajaan Negeri Sembilan kerana keprihatinan membina rumah ini.
Dalam majlis sama turut diadakan penyampaian watikah pelantikan Batin dan Jawatankuasa Kemajuaan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKAO), Anugerah Pelajar Cemerlang, Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (ADS1M) Kampung Bukit Kepong danProjek Ladang Masyarakat.