
Oleh Fauzrina Hj Bulka (Melaka)
MELAKA, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Tidak sukar untuk mencari kediaman Mohamad Brohim, 55, yang terletak di Kampung Lapan, di sini. Ketibaan Malaysiaaktif di rumah pusaka tersebut petang tadi disambut dengan senyuman lebar.
Mohamad, yang lebih dikenali dengan nama Che Mat, telah menduduki rumah tersebut semenjak ibu bapanya masih hidup bersama dengan 12 orang adik-beradik yang lain. Kini, dia tinggal sendirian kerana adik-beradiknya sudah berkahwin dan mempunyai kehidupan sendiri.
Che Mat merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU fizikal) sejak kecil yang mempunyai masalah untuk berjalan dan berdiri sehingga menyukarkannya untuk melakukan aktiviti harian.
“Walaupun pakcik ada kelengkapan dapur, tapi dengan keadaan pakcik, pakcik lebih selesa membeli makanan siap dari warung berbanding masak sendiri di rumah,” ujarnya.
Mujur ada kawan yang setia membantunya untuk membeli makanan. Ada kalanya, kawannya akan membawa Che Mat ke kedai makan untuk menghabiskan masa bersama bagi mengelakkan Che Mat bosan sendirian di rumah.
“Pakcik tak kisah makan apa pun, dan tak pernah teringin nak makan sedap-sedap. Sebelum ini, pakcik pernah makan biskut cicah kopi o’ selama setahun lapan bulan, jadi pakcik dah biasa hidup susah,” jelas Che Mat.
Tambah Che Mat lagi, rakannya itu jugalah yang membantu dia mengambil wang sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diterima sebanyak RM200 sebulan.
Adakalanya, jika rakannya sibuk dan tidak dapat menemaninya berbual, Che Mat akan menelefon stesen radio Melakafm dan mendendangkan lagu dondang sayang.
Sepanjang temu ramah dengan Che Mat, terdapat beberapa agensi yang datang menghulurkan bantuan kepadanya dalam pelbagai bentuk termasuklah wang tunai dan barangan dapur.
Menurut Che Mat, disebabkan dia tidak memasak, selalunya dia akan sedekahkan semula barangan tersebut kepada rakan-rakan yang selalu membantunya dan adakalanya, dia pula akan menyumbang jika ada kenduri yang dijalankan di kampungnya.
“Walaupun pakcik tak mengharap pemberian orang, sebab pakcik segan menerima sumbangan, tetapi pakcik tetap terima jika ada yang beri. Cuma, lebih sesuai jika hanya memberikan wang tunai kerana pakcik dapat lakukan macam-macam dengan duit itu,” katanya.
Terdapat beberapa ruang di dalam rumah Che Mat yang hampir roboh seperti dapur dan juga atap bilik mandinya.
Justeru, Che Mat amat mengharapkan jika ada ada pihak yang ingin memberikan bantuan, harapannya ialah agar pihak tersebut dapat membaiki kondisi rumahnya.

Sebahagian atap bilik airnya yang telah roboh – Che Mat mengharap ada yang ikhlas mengulurkan bantuan.
“Baru-baru ini ada sebuah kolej swasta yang menyumbangkan mesin basuh baru untuk pakcik dan ia sangat membantu pakcik membasuh pakaian terutama dengan keadaan fizikal pakcik yang terbatas.
“Namun, ada satu perkara yang pakcik perasan dalam bulan Ramadan ini. Pakcik pelik dengan orang kita yang suka menderma hanya pada bulan Ramadan. Kalau betul nak bantu, tidak perlu tunggu bulan Ramadan, bulan lain pun boleh.
“Apa pun, pakcik amat bersyukur dapat menjalani puasa pada tahun ini dan pakcik berdoa semoga dapat bertemu Ramadan tahun depan serta dikurniakan kesihatan yang baik untuk menyambut Aidilfitri minggu depan,” ujar Che Mat.
-DZ