
Oleh Fauziah Hussain (KL)
KUALA LUMPUR, 1 Jun (Malaysiaktif) – “Majikan perlu melaksana dan mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan program pencegahan dadah dan memastikan semua Peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 difahami dan dipatuhi”.
Pengarah Bahagian Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Dr Ahmad Fitri Abdullah Hair berkata demikian di Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah anjuran AADK di Auditorium Perpustakaan Kuala Lumpur, semalam.
“Penyalahgunaan dadah menjadi ancaman kepada keselamatan, kesihatan pekerjaan, majikan dan komuniti setempat serta membantutkan kecemerlangan sesebuah organisasi atau syarikat”, kata Penolong Pengarah Pencegahan dan Kesedaran Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Mohd Hanif Omar.
“Pekerja-pekerja yang terlibat dengan dadah merupakan pekerja yang kurang berkeupayaan dan kurang produktif, ujarnya lagi.
Tujuh langkah mewujudkan tempat kerja bebas dadah adalah komitmen dan kepimpinan pengurusan atasan, polisi dan jawatankuasa pencegahan dadah, latihan untuk penyelia, program pendidikan dan kesedaran kepada pekerja, program ujian urin, peluang rawatan dan pemulihan serta program dalam komuniti.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi telah mengisytiharkan 2016 sebagai tahun memerangi dadah secara besar-besaran oleh semua agensi berkaitan, seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), AADK dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM).
Di antara tujuan Seminar Tempat Kerja Bebas Dadah adalah memberi pengetahuan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, mendidik majikan termasuk bahagian Pengurusan Sumber Manusia dan pekerja mengenai pencegahan, memberi kemahiran mengurus masalah penyalahgunaan dadah dan menyediakan program pemulihan berkesan serta mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan selamat.
Program seminar ini telah dihadiri peserta daripada pelbagai Jabatan dan Agensi sektor awam sekitar Kuala Lumpur.
-DK