
Oleh: Hanafi Sariman & Norhayani Hashim (Kepala Batas)
KEPALA BATAS, 21 Ogos (Malaysiaaktif) – Lebih 200 orang menyaksikan tayangan “Big Screen” sempena acara akhir Badminton Olimpik Rio 2016 antara pemain Cina, Chen Long dengan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di Restoran Mamu John, Penaga di sini malam tadi.
Walaupun sokongan yang diberikan dari jauh, namun suasana tetap meriah dengan kehadiran bekas jaguh badminton negara, Datuk Misbun Sidek yang turut hadir untuk menyaksikan aksi bekas anak didiknya.
Seorang pengujung yang ditemui Malaysiaaktif, Daud Ahmad, 42, berkata, dia lebih seronok dan teruja apabila dapat menonton acara akhir ini secara beramai-ramai.
“Perasaan lebih bersemangat timbul kerana kita dapat berkumpul beramai-ramai seperti ini memberikan sokongan kepada atlet negara,” kata Daud.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan daerah Seberang Perai Utara ini turut mengadakan Cabutan Bertuah kepada orang ramai yang hadir bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Datuk Mohd. Zain Ahmad yang turut hadir, melahirkan rasa bangganya dengan semangat yang ditunjukkan rakyat Malaysia.
“Malam ini merupakan hari yang bersejarah apabila seorang bekas jaguh dan jurulatih badminton negara dapat datang dan bersama-sama menyaksikan acara berkenaan dengan warga setempat.
“Walaupun Datuk Lee Chong Wei tewas pada malam ini, namun dia telah memberikan yang terbaik dan tidak mudah putus asa. Itulah semangat yang kita mahukan dari seluruh rakyat Malaysia,” ujar Zain.
– AH