
Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto: Muhamad Afiq Abdul Karim (Bintulu)
BINTULU, 16 Sept (Malaysiaaktif) – Belacan, midin dan cencaluk menjadi pilihan pengunjung Pasar Tamu yang berkampung di Bintulu sempena Sambutan Hari Malaysia 2016.
Pasar Tamu Bintulu yang dibuka awal pagi hingga petang menjual pelbagai hasil pertanian masyarakat tempatan selain buah tangan untuk para pelancong yang datang menyinggah.
Menurut Ketua Unit Noor Shameiza Abd Razak, 38 dan Pengurus Busana Koir Jabatan Penerangan Malaysia, Shalinda Ismail, 40 terdapat pelbagai
barang kraftangan, kain batik, manik, pakaian tradisional bersulam dan kek lapis Sarawak di Pasar Tamu.
“Yang wajib dibeli ialah belacan kerana sedap, tak berbau dan tahan lama. Jika dibandingkan dengan Kuching, belacan di sini agak mahal dengan harga RM10 hingga RM60 bergantung kepada saiz.
“Kami beli dalam tiga ketul tetapi yang untungnya apabila dimasak tak perlu guna banyak. Orang Johor masak asam pedas pun guna belacan,” jelas mereka yang ditemui di sebuah hotel tengah hari tadi.
Sementara itu, bagi pegawai kerajaan, Muhamad Afiq Abdul Karim, banyak makanan eksotik masyarakat tempatan yang menjadi pilihan pengunjung boleh diperoleh di Pasar Tamu.
“Susah kalau nak cari sayur midin di Semenanjung. Kebanyakan sayur dan makanan laut yang dijual di Pasar Tamu ini segar dan harganya murah,” katanya yang turut membeli buah tangan belacan dan ikan terubuk masin buat orang rumahnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penjawat awam, Radzizan Jumhari yang berasal dari Kuching, cencaluk yang diperbuat daripada udang geragau menjadi pilihannya setiap kali ke Pasar Tamu.
“Dengan harga serendah RM5, udang diisi dalam bekas dan sesuai dijadikan makanan untuk seisi rumah. Biasanya cencaluk dimakan terus dengan perahan limau, makan dengan timun dan boleh juga digoreng dengan bawang besar begitu sahaja, jelasnya yang memandu 12 jam untuk sampai ke Bintulu.
Bintulu yang turut dikenali sebagai Kota Tenaga Sarawak dipilih menjadi tuan rumah Sambutan Hari Malaysia 2016.
Sambutan tersebut bakal berlangsung di Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu bermula 7.00 malam ini.