
Oleh:? Asmidar Zainol / Foto: Karabaw Martial Arts & Fitness Centre (Sabah)
KOTA KINABALU, 16 Sept (Malaysiaktif) – Pencarian jaguh Jesselton Fight League (JFL2016) yang julung kalinya akan berlangsung di 1Borneo Shopping Mall pada Sabtu, 24 September, bakal membuka perspektif baharu dalam bidang pelancongan di negeri ini.
Program anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah bersama-sama Karabaw Martial Arts & Fitness Centre bakal menghimpunkan seramai 30 peserta dari luar dan dalam negara untuk beradu tenaga menggunakan teknik-teknik Seni Pertahanan Diri Campuran (Mixed Martial Art).
Menurut Pengarah Pejabat (MOTAC) Negeri Sabah, Ag Ahmad Zaki Abd Bakar penganjuran JFL2016 bakal mempromosi sukan seni bela diri sebagai satu lagi cabang baharu pelancongan Sabah.
“Sehingga kini, kita menerima seramai 24 peserta daripada Amerika Syarikat, Vietnam, Brunei, Filipina, Australia, India, Singapura dan Indonesia serta enam peserta dari Malaysia.
“Mereka yang datang bukan sahaja dapat menyertai dan menyaksikan pertandingan tersebut malah dapat mengambil peluang untuk bercuti di negeri ini,” tambahnya.
JFL merupakan sebuah program yang ditubuhkan sejak tiga tahun dulu yang dijalankan secara liga merupakan satu-satunya pertandingan di Malaysia yang memberi peluang kepada para peserta untuk mengumpul mata bagi menyertai pertandingan World Series of Fighting Global Championship (WSOFGC).
Sementara itu, Pengarah bersama Karabaw Martial Arts & Fitness Centre merangkap Urusetia JFL, Rayner Kinsiong berkata, melalui penganjuran ini dapat membuka ruang dan peluang untuk mencungkil bakat anak tempatan bagi mewakili negara dalam bidang sukan berkaitan di kejohanan antarabangsa.
“Memandangkan pertandingan ini dibuka untuk tontonan orang ramai, kami berharap dapat memberikan kesan positif kepada remaja agar dapat melibatkan diri dengan sukan seni bela ini secara berdisiplin.
“Melalui asuhan awal dan panduan yang betul akan dapat memberi pendedahan kepada remaja agar tidak terlibat dengan gejala-gejala negatif seperti pergaduhan dan buli di sekolah,” katanya lagi.
Peserta JFL bakal merebut hadiah wang tunai bernilai RM8000 dan menerima pingat serta mengumpul mata bagi menyertai pertandingan WSOFGC nanti.