
Laporan dan foto oleh : Robani Nabi Ahmad/ Mohd Anizan Mat Daud (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 25 Okt (Malaysiaaktif) – Badan bertindak Restorasi Air Kelantan (Restorasi) mengadakan perhimpunan secara aman bagi mendesak kerajaan negeri melakukan rombakan secara sukarela terhadap pentadbiran syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) petang semalam di hadapan Pintu masuk Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (SUK).
Pengerusi Restorasi, Datuk Seri Dr. Mohd Fared Abdul Ghani berkata, perhimpunan ini digerakkan ke seluruh daerah dalam usaha menyedarkan rakyat di negeri ini tentang perlunya rombakan agar rakyat dapat menikmati air yang bebas karat,kotor dan sebagainya.
“Restorasi ini tidak akan berhenti selagi AKSB dan kerajaan negeri tidak menerima desakan ini,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan tersebut.
Beng Khieu, 49, mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daerah Tumpat berkata, pengstrukturan semula air tidak aan berjaya mencapai aspirasi penduduk kelantan tanpa rombakan dan penyusunan dalam pentadbiran AKSB.
“Kerajaan Persekutuan telah meluluskan ratusan juta ringgit kepada kerajaan PAS kelantan untuk mengatasi masalah air namun rakyat terus terancam dengan masalah air berkarat,” ujarnya lagi.
Seorang lagi peserta perhimpunan, Tuan Ab Rahman Tuan Soh, 50, berkata sekiranya rombakan desakan ini berhasil barulah penduduk dapat menikmati bekalan air bersih.
“Sehingga kini, kami rakyat kelantan membayar bil bulanan untuk mendapatkan bekalan air berkarat,” ujarnya kepada Malaysiaaktif.
-SH