Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHomeViral

Perlu Muhasabah Didik Anak Syurga

By 9 November 2016Tiada komen4 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Oleh Syed Fauzi Syd Mostapa / Foto Wira Ismail

SIBU, 9 Nov (Malaysiaaktif) – “Kekurangan ini tiada sesiapa yang minta, tetapi kita kena ingat bahawa mereka (orang kelainan upaya, OKU) ini anak syurga. Kita ini sendiri tidak tentu lagi. Jadi kita perlu muhasabah diri.”

Guru Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Sentosa, di sini, Wan Mohd Irfan Wan Johari, 25, berkata demikian ketika Gotong-Royong sempena Program Gemilang Siswa Peringkat Negeri Sarawak 2016 petang semalam.

img_6574

“Kita tidak boleh sesekali meminggirkan mereka. Kita perlu mesrakan diri sebab mereka ini perlukan perhatian. Orang nampak mereka ini serba kekurangan, jadi kita perlu positifkan mereka dengan membantu apa-apa yang boleh,” ujarnya.

Irfan yang mengikuti Kursus Pendidikan Khas selama lebih lima tahun di Institut Perguruan mahu masyarakat sedar akan keistimewaan murid-murid ini.

whatsapp-image-2016-11-09-at-13-13-48

“Kita patut tahu bahawa mereka ini mempunyai kelebihan lain. Kami sebagai guru sendiri tidak jangka keistimewaan mereka. Ada yang boleh membaca, ada pula yang boleh mewarna lagi lawa berbanding murid perdana.

“Dalam kalangan mereka ini ada yang lemah dalam pelajaran (slow learner), down syndrome, dan autisme. Mereka yang autisme ini yang kadang-kadang kita tidak jangka pengetahuan mereka. Kadangkala alam semesta pun mereka boleh tahu. Planet itu, planet ini.

“Mereka ini tahu menerusi televisyen, YouTube malah ada juga yang ingat setiap fakta yang dikongsi oleh ibu bapa mereka. Itulah yang istimewa,” jelasnya.

whatsapp-image-2016-11-09-at-13-14-05

Irfan juga berkata pelbagai program diadakan antaranya Program Pendidikan Khas Integrasi supaya mereka ini tidak berasa terpinggir sekali gus lebih berminat untuk ke sekolah.

Sementara itu, bagi Guru Besar,  Sharkawi Hamdan, ibu bapa di sini tiada masalah menerima anak-anak OKU ini untuk bergaul dengan pelajar arus perdana.

“Kita gabung sekali pelajar biasa dengan pelajar OKU ini seperti makan sama, rehat sama. Setakat ini, kita ada 24 pelajar OKU manakala keseluruhan pelajar seramai 898 yang belajar satu sesi di sini.

“Seramai 10 orang guru yang terlatih dan dibantu oleh tiga orang pembantu pengurusan murid yang menguruskan pelajar yang hendak ke tandas. Jadi akan sentiasa ada guru yang menjaga murid-murid istimewa ini.

img_6560

“Dengan nisbah seorang guru menjaga lima orang murid, pengajaran dalam kelas akan lebih berkesan sebab fokus cikgu itu hanya kepada mereka.

Sharkawi turut berharap agar masyarakat kini mengubah persepsi mereka tentang keperluan untuk menghantar anak OKU ini ke sekolah.

“Ibu bapa yang telah menerima laporan tentang anak mereka yang layak untuk menerima pendidikan secara khas ini diharap tidak berasa ragu-ragu untuk mendaftarkan anak mereka di sekolah.

“Sekarang ini, jika kita lihat OKU ini juga cukup hebat sehingga memenangi pingat emas pertama dalam Sukan Paralimpik baru-baru ini. Murid kita, Khairul Irfan Nizam juga berjaya mewakili bahagian Sibu dalam acara 100 meter dan 200 meter dalam Sukan Paralimpik peringkat negeri di Bintulu,” jelasnya.

img_6576

Sharkawi juga menekankan bahawa murid istimewa ini tidak wajar dinilai dalam akademik sebaliknya lebih kepada latihan praktikal untuk pengurusan diri.

“Mereka ini sewajarnya tidak dinilai seperti pelajar arus perdana tetapi diajar dari segi pengurusan diri dan dinilai menerusi Pentaksiran Alternatif.

img_6573

“Misalnya, mereka dinilai menerusi program keusahawanan, bercucuk tanam kemudian kami latih mereka untuk menjual. Jadi kami cikgu di sini juga akan membeli hasil tanaman seperti sayur bayam.

“Kita juga buatkan Hari Terbuka Pelajar Pendidikan Khas. Jadi ibu bapa datang dan guru-guru beli sebagai motivasi kepada anak istimewa ini,” ujarnya lagi.

img_6572

Sharkawi ditemui ketika Program Gotong-Royong tersebut yang melibatkan 120 pelajar University College of Technology Sarawak (UCTS), Kolej Kejururawatan dan giat MARA.

Program anjuran Jabatan Penerangan ini turut merobohkan pondok lama  sekolah dengan menggantikannya kepada anjung ilmu yang akan menempatkan rak buku sebagai bahan bacaan tambahan sementara ibu bapa membawa murid-murid pulang.

 

-DZ/AAS

 

Tinggalkan komen anda