
Oleh: Mohd Baharruddin Mohamad
KUCHING, 3 Dis (Malaysiaaktif) – Memasuki minggu pertama cuti sekolah, rata-rata ibu bapa pastinya mengambil kesempatan untuk mengkhatankan anak-anak lelaki mereka. Khatan atau sunat wajib dilakukan ketika anak-anak hampir cukup umur atau akil baligh. Khatan merupakan salah satu cara membersihkan lebihan kulit yang ada pada zakar dan faraj merupakan tempat pembiakan kuman-kuman yang boleh memudaratkan.
Menariknya kali ini apabila lima kanak-kanak berbangsa Cina, Iban dan Bidayuh turut terlibat dalam sesi berkhatan beramai-ramai bersama 120 kanak-kanak Islam di Klinik Kesihatan Petra Jaya, Kuching, Sarawak, pagi tadi.
Menurut Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan Jabatan Agama Islam Sarawak (KESUJA), Mohd Isselahuddin Kameri, program tersebut disertai kanak-kanak berumur sembilan tahun ke atas tanpa mengira bangsa dan agama di sekitar kawasan Petra Jaya dan Kuching.
“Program ini memberi kemudahan kepada orang awam di kawasan Petra Jaya ini menjalankan proses bersunat bagi anak-anak mereka selain menjadikan program ini lebih meriah dan menjadi memori anak-anak apabila sudah membesar.
“Di samping itu, program ini juga memberi peluang kepada pihak yang bekerjasama melaksanakan kerja amal secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan kepada petugas klinik dan hospital dalam proses berkhatan,” ujarnya yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS.
Sebelum majlis berkhatan, Malaysiaaktif sempat bertemu dua beradik yang turut serta iaitu Mohd Arifin Marais, 9 dan Mohd Hairal Marais, 10 yang berasal dari Kampung Hj Baki, Blok A Jalan Batu Kitang Kuching.
“Kami berdua tidak takut untuk disunat malah perasaan kami berdua gembira sekali kerana diberi peluang untuk bersunat dengan kawan-kawan yang lain,” jelas Mohd Arifin.
Bagi bapa mereka, Marais Putit, 53, dengan bayaran RM50 seorang pastinya tidak begitu membebankan ibu bapa. Marais berasa sangat bertuah apabila diterima untuk pendaftaran jika dibandingkan di klinik luar yang memerlukan bayaran yang membebankan sekurang-kurangnya RM200.
Sementara itu, bagi Alex Soh Thien Long berasal dari Lawas dan berkerja di Kuching, jika bersunat di klinik kerajaan lebih selamat selain bayarannya sangat murah sekali berbanding klinik luar.
“Jjika di klinik luar kosnya boleh menjangkau RM400 dan di samping itu tujuan saya menghantar anak saya bersunat untuk menjaga kesihatan dan aktiviti ini merupakan tradisi keluarga,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Dahlan Syharizan, 10 dari Batu Kawa,Kuching berkata, sebelum bersunat dia berasa terlalu gementar.
“Pada mulanya saya takut namun apabila selesai disunat timbul pula rasa seronok kerana apa yang saya fikir tentang bersunat selama ini sudah dilaksanakan pada pagi tadi walaupun ada rasa sakit sedikit selepas diberi suntikan,” jelasnya.
Bagi Ibu Dahlan, Norsahirah Abdullah yang berbangsa Bidayuh dia sangat bersyukur kerana anaknya selamat disunat.
“Dahlan merupakan anak pertama saya. Sebagai ibu, saya mengharapkan anak saya berani untuk disunat. Sebelum bersunat, saya berdoa agar anak saya tidak takut. Berbanyak terima kasih pihak penganjur dan kepada pihak klinik kerana semuanya berjalan lancar,” jelasnya.
Antara aktiviti lain yang dilakukan sebelum acara dijalankan ialah taklimat daripada Klinik Kesihatan Petra Jaya yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Kesihatan Sarawak. Abang Nor Affian Abang Haji Ibrahim
Proses bersunat bermula pada 8.00 pagi diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada peserta berbentuk kain pelekat. Simbolik perasmian beramai-ramai dilakukan oleh ADUN Tupong Fazzrudin Abdul Rahman bertempat di pekarangan Klinik Petra Jaya.
Sesi berkhatan beramai-ramai ini merupakan kerjasama antara KESUJA Kementerian Kesihatan Malaysia, Rukun Tetangga Taman Banjaran Serapi dan Klinik Kesihatan Petra Jaya dan Balai Bomba Petra Jaya.
-SF