Skip to main content
Berita TempatanSabah

Kepialu Di Tawau – Jangan Panik

By 7 Februari 2017Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

Laporan dan foto oleh: Fauzrina Hj Bulka

TAWAU, 7 Feb ( Malaysiaaktif) – Penduduk di daerah ini dinasihati agar tidak panik berhubung isu demam kepialu yang menjadi ‘viral’di laman sosial Whatsapp.

Pegawai Kesihatan Kawasan, Doktor G. Navindran menafikan kenyataan yang menyatakan Pejabat Kesihatan Daerah mengesahkan bahawa kuman tersebut bermula dari Pasar Ikan, disini.

“Kami nafikan sama sekali kenyataan tersebut dan kakitangan kami masih lagi menjalankan operasi untuk mencari punca demam itu tersebar,” katanya ketika dihubungi Malaysiaaktif petang tadi.

Menurutnya, setakat ini terdapat satu kes kematian dan enam kes dilaporkan positif berkaitan demam kepialu namun pesakit didapati tinggal di kawasan yang berbeza dan berjauhan antara satu sama lain.

“Antara enam yang disahkan positif, tinggal di Taman Wawasan, Ranggu dan Batu Dua yang terletak berjauhan dan kerana itu inspektor kesihatan termasuk doktor dan kakitangan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bertungkus-lumus menjalankan operasi bagi mencari punca,” jelasnya.

Tambahnya, pemeriksaan yang dijalankan tidak ada kena-mengena dengan kematian yang berlaku, cuma lawatan biasa bagi mengenal pasti kenalan-kenalan yang positif dengan jangkitan.

Katanya, gejala penyakit kepialu ini ialah demam berterusan dan berpanjangan, suhu melebihi 40 darjah celsius, cirit-birit, sembelit, sakit perut, sakit badan, sakit kepala, lemah , letih, lesu dan kurang selera makan.

“Jika kelihatan ruam atau bintik merah di badan juga antara tanda kita dijangkiti, dengan itu jika dikesan orang ramai dinasihati agar segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Pejabat Kesihatan yang berhampiran,”ujarnya.

Demam kepialu memang mempunyai ubat yang 100 peratus boleh menyembuhkan sakit tersebut berbeza dengan demam denggi yang memang tiada ubat.

Doktor G. Navindran turut menasihati orang ramai untuk menjaga kebersihan dan pastikan sentiasa membasuh tangan sebelum menyediakan makanan atau pun selepas menggunakan tandas.

“Saya ingin memaklumkan bahawa situasi memang terkawal dan tiada masalah yang perlu dirisaukan. Jika situasi panik timbul, nanti tiada orang ke pasar untuk membeli ikan mengakibatkan harga jatuh dan merencatkan ekonomi warga Tawau sendiri,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin tahu sebarang maklumat diminta datang ke Pejabat Kesihatan agar kakitangan dapat memberikan penerangan.

“Tindakan pihak kesihatan hanyalah hendak pastikan kes ini selesai secepat mungkin. Kita akan buat secara besar-besaran untuk mengelakkan kes baharu timbul,” katanya.

SF

Tinggalkan komen anda