Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

Legasi Tok Nan, CENTEXS Bantu Pelajar Masuk Industri

By 14 Februari 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan dan foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa

LUNDU, 14 Feb (Malaysiaaktif) – “Tok Nan pernah berkata tiada lain yang penting, jika mahu majukan masyarakat kita, keluarga kita, hanyalah menerusi pendidikan. Kalimat yang selalu saya dengar daripada arwah “Sebuah Keluarga, Seorang Graduan” itulah yang mencerminkan kepimpinannya dalam memajukan kawasan ini.

Demikian luah salah seorang pentadbir CENTEXS, Anthony Embil Ali, yang merupakan kaum Bidayuh Salako ketika ditemui di Centre of Technical Excellence (CENTEXS), di sini petang tadi.

WhatsApp Image 2017-02-14 at 9.42.56 PM

Anthony Embil Ali ketika menjelaskan Tok Nan sebagai penggerak utama CENTEXS

Anthony juga menyokong penuh komponen ke-13 dalam Manifesto Calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu, Puan Sri Jamilah iaitu menggalakkan dan menyediakan pendidikan teknikal melalui CENTEXS.

“Pada saya itu yang paling baik untuk penduduk di sini. Terlalu banyak yang diberikan oleh arwah Tok Nan yang merupakan Pengasas Yayasan Sarawak khasnya dalam memberikan biasiswa dan bantuan bantuan akademik kepada pelajar.

“CENTEXS Lundu ini juga menggambarkan pertolongan arwah dalam membantu orang yang tercicir dalam pelajaran untuk menyertai bidang praktikal.

“Arwah bertindak sebagai penggerak utama CENTEXS. Legasi arwah yang dibuka pada Februari tahun lepas ini menitikberatkan kemahiran teknikal untuk membantu masyarakat tempatan. Dia tahu bukan semua yang bijak dari segi akademik. Jadi sebab itu CENTEXS wujud.

Kelas Pembuatan (Jahitan) yang sedang berlangsung di CENTEXS Lundu

Kelas Pembuatan (Jahitan) yang sedang berlangsung di CENTEXS Lundu

“Dahulu CENTEXS ini tidaklah begitu popular, tetapi sejak arwah bawa masuk, baru nampak semakin ramai yang mula mendaftar. Pelajar dari Telok Melano pun ada yang menyertai program di sini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, bagi pengurus CENTEXS, Bonny Joseph, 32 dengan segala kemudahan yang diberikan jelas membuka peluang kepada masyarakat di sini untuk berjaya dalam industri teknikal.

Pengurus CENTEXS, Bonny Joseph ketika menerangkan latar belakang CENTEXS

Pengurus CENTEXS, Bonny Joseph ketika menerangkan latar belakang CENTEXS

“CENTEXS tidak mengenakan sebarang bayaran. Jika mereka masuk, kerajaan Negeri yang taja yuran pendaftaran, elaun sara diri, elaun makan, kemudahan asrama, dan pakaian sukan. Yang penting mereka perlu menghabiskan pembelajaran masing-masing.

“Berlainan dengan Sijil Kemahiran Malaysia( SKM), CENTEXS menyediakan sijil yang diberikan dengan kerjasama TWI, Petronas, Solidworks Technology, EIU, dan Petra Energy yang membolehkan pelajar kita terus diserap masuk dalam industri selepas tamat belajar.

“Setiap modul pembelajaran juga kita mengikut rentak industri. Dengan mempunyai kelulusan UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) sahaja, selagi mereka boleh menulis dan membaca serta berusia 18 sehingga 35 tahun, kita terima mereka sebagai pelajar. Tentang peperiksaan, kita akan bantu dengan kelas tambahan agar mereka lulus,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, bagi pelajar pembuatan (menjahit), Nurul Najihah Tukejeng, pembelajaran di CENTEXS selama lima bulan telah membantunya memulakan perniagaan dengan mengambil tempahan menjahit baju kurung.

Nurul Najihah Tukejeng ketika mengikuti kelas jahitan

Nurul Najihah Tukejeng (tengah) ketika mengikuti kelas jahitan

“CENTEXS ini memberikan peluang kepada remaja seperti saya. Wang sendiri dapat dicari. Saya dah tidak perlu lagi minta orang lain buat. Saya dah boleh buat baju kurung moden, baju kurung tradisional.

“Tempahan yang saya terima harganya bergantung kepada baju. Baju kurung fesyen dalam RM60, sementara baju kurung tradisional RM40. Selama lima bulan belajar di sini, saya banyak belajar tentang fesyen dan jahitan,” ujarnya lagi.

CENTEXS Lundu yang telah setahun beroperasi kini mempunyai lebih 200 pelajar untuk dua pengambilan terdahulu. Antara kursus yang ditawarkan ialah pembuatan, pembinaan dan hospitaliti yang dijalankan selama enam bulan.

-SF

Tinggalkan komen anda