
Laporan / foto oleh Syed Fauzi Syd Mostapa
LUNDU, 12 Feb (Malaysiaaktif) – “Arwah Tok Nan dan isterinya, Puan Seri Jamilah jika datang ke Kampung Sampadi misalnya ketika berbuka puasa, suka makan masakan tradisional kami, umbut masak lemak. Jika tak sempat nak makan, arwah akan minta tapau (bungkus).”
Ketua Chef, Besah Halip, 58 berkata demikian ketika sedang sibuk menguruskan makanan bagi Program Pemimpin Bersama Komuniti Zon Sampadi tengah hari tadi.
Tambahnya, umbut kelapa yang merupakan masakan tradisi keluarga Melayu di Kampung Sampadi biasanya dibuat masak lemak kelapa yang dijamu ketika adanya makan besar, perayaan mahu pun kematian.
“Pendek kata, mati hidup kami semua pilih umbut untuk makan. Selain umbut, arwah juga suka makanan laut seperti koyong (siput sedut), udang, ketam, ikan bakar, asam pedas dan ulam-ulam.
“Pada hari ini sahaja kami gunakan dalam 15 ke 20 batang pokok kelapa untuk menyiapkan umbut ini. Setelah dihiris, dikupas semuanya siap dalam lebih sejam. Umbut yang paling digemari tentunya masak lemak yang dimasukkan sekali dengan udang kering atau udang hidup. Ada juga yang masak kari atau masak rebus,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Sampadi Narawi Uring, 61 dan Setiausaha Masjid Kampung Daerah Sampadi, Kasim Bujang, 58 menjelaskan seramai 20 sukarelawan telah bergotong-royong bagi menjayakan program tersebut.
“Sejak Subuh, seramai 20 orang sukarelawan kampung, yang membantu untuk menyediakan masakan tradisional kampung kami untuk 1000 tetamu termasuk Ketua Menteri, Datuk Abang Zohari Tun Abang Openg (Abang Jo).
“Makanan yang disediakan ialah makanan tradisional orang dahulu seperti umbut, daging kambing masak dalca, ketam, udang, koyong dan ubi rebus dengan ikan masin yang budak-budak sekarang sudah tidak suka.
Menyentuh umbut yang sukar didapati di Pekan Lundu, mereka menyatakan oleh sebab kedudukan kampung Sampadi yang terletak di tepi laut, mudah bagi mereka mendapatkan umbut.
“Di Pekan Lundu memang sukar nak dapat, tetapi di kampung kami senang nak dapat kelapa. Jadi mudah untuk dapatkan stok umbut di sini. Tempat lain tiada, di sini kalau ada majlis tertentu mesti masakan ini paling mudah dimasak,” ujar mereka lagi.
Bagi petugas Pilihan Raya Kecil (PRK), Azman Husaini, 45 dari Kuching, dia merasakan umbut ini makanan yang cukup sinonim bagi aktiviti kenduri oleh sebab boleh dimasak dalam kuantiti yang banyak.
“Umbut ini guna pokok kelapa. Pada saya, umbut sawit rasanya lebih manis. Orang ambil sebatang terus untuk buat kenduri tetapi kalau masak biasa di rumah biasa mereka pakai timbang.
“Berbanding dengan sayur seperti midin nak kena beli banyak namun kalau umbut ni senang sedikit oleh sebab boleh buat banyak sekali gus,” katanya lagi yang membeli ubut di pasar dengan harga RM6 ke RM7 sekilo.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia,Datuk Jailani Johari.