
Laporan oleh Aini Hussain & Hanim Salleh / Foto: Hanim Salleh
KUALA LUMPUR, 11 Nov (Malaysiaaktif) — Apa yang lebih baik selain keupayaan melihat dengan lebih jelas.
Bagi lebih 400 orang penduduk kawasan Lembah Pantai tengah hari tadi, ia dinikmati melalui sumbangan cermin mata membaca percuma yang diagihkan oleh Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin bersama ahli-ahli Puteri UMNO kawasan berkenaan.
Inisiatif dicetusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini adalah projek khas beliau yang merupakan sebahagian daripada ‘Touch Point’ untuk pengundi berumur 40 tahun ke atas.
Program pemberian cermin mata ‘PuteriCares’ Wilayah Persekutuan ini bermula di kawasan Lembah Pantai dan seterusnya akan dipanjangkan ke tempat lain, kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.
Acara hari ini berlangsung di Blok 15, Peti Daerah Mengundi Taman Bukit Angkasa (TBAPDM) bermula pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang.
Taman Bukit Angkasa adalah sebahagian daripada 18 buah daerah mengundi di kawasan ini.
Kesemua penerima diberikan cermin mata berkuasa antara 100 hingga 225 diopter.