Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajayaWilayah Persekutuan

Kem Super Tahfiz Mega: Asuh Jiwa Muda Cinta Al-Quran

By 27 November 2017Disember 1st, 2017Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

 

 Laporan dan foto : Syed Hisham Shah & Muhammad Rizal Redzuan (Putrajaya)

PUTRAJAYA, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Program Kem Super Tahfiz Mega anjuran Persada Al-Islah, sebuah syarikat berteraskan pengembangan pendidikan dan pembangunan modal insan Islam, berjaya menghimpunkan seramai lebih 400 orang pelajar berusia 7 hingga 17 tahun.

Menurut Ikon Kem Super Tahfiz Mega, Ustaz Safuan Pamidi berkata, pengisian program ini dipelbagaikan bukan sekadar menghafaz Al-Quran semata-mata.

Ustaz Safuan ketika ditemui di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini siang tadi.

Ustaz Safuan ketika ditemui di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini siang tadi.

“Kem turut menampilkan beberapa ikon antaranya Imam Muda Asyraf yang membincangkan akan keperibadian agung Rasullullah SAW, Imam Muda Syed Faris (Al-Quran dan Sains), Ustaz Safuan Pamidi (As-Solat Momentum Al-Falah) dan Ustaz Sahib Pamidi (Fiqh Tahawulat).

“Sepanjang kem tersebut, peserta akan turut didedahkan dengan perubatan Islam sebagai pendinding daripada sebarang gangguan makhluk halus ketika melakukan aktiviti luar seperti berkhemah di dalam hutan dan sebagainya di samping hafazan Quran surah-surah pilihan,” ujarnya ketika ditemui di  Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini siang tadi.

Sementara itu, Pengarah Kem, Saiful Islam Mohamad Naser amat teruja dengan kehadiran peserta yang melebihi sasaran asal iaitu seramai 250 orang dan menyifatkan sambutan itu sebagai kesedaran daripada Muslim untuk mencintai Al-Quran.

“Kita ingin mengoptimumkan serta memprofesionalkan institusi tahfiz itu sendiri. Kita juga berhasrat untuk memasukkan unsur-unsur keagamaan serta unsur-unsur Al-Quran dan hadis supaya mereka dapat serapkan di dalam kehidupan mereka.

“Mungkin ini suatu bibit-bibit kesedaran daripada masyarakat untuk menghantar anak-anak ke program-program berbentuk akademik dan agama sebegini,” jelasnya.

Veronica mendapati silibus kem ini berbeza dengan kem-kem lain yang pernah disertai anak-anaknya.

Veronica mendapati silibus kem ini berbeza dengan kem-kem lain yang pernah disertai anak-anaknya.

Menurut Khairunnisa Veronica Abdullah, 42, musim cuti akhir persekolahan amat panjang. Jika tidak diisi dengan betul, anak-anak akan membazirkan sangat banyak masa berharga dengan gajet-gajet dan permainan internet. Lebih bahaya lagi jika mereka melibatkan diri dengan kegiatan tidak sihat seperti bermain basikal lajak di jalanraya.

“Dengan adanya Kem Super Tahfiz seperti ini, ruang kosong itu dapat diisi untuk bekalan anak-anak yang akan menjadi saham ibubapa di akhirat kelak,” katanya.

Dia yang menghantar dua orang anak menyertai program ini, masing-masing seorang perempuan dan lelaki berusia 15 dan 12 tahun.

Menurutnya lagi, dia dan suami tidak mempunyai ilmu Al-Quran dan ilmu agama yang tinggi, dengan menghantar anak-nak ke kem ini, kekurangan itu dapat diisi oleh tenaga pengajar mahir yang ada.

Antara peserta program yang teruja dengan pengendalian program kali ini, Muhammad Afiq Asyraf, 15, menyifatkan penyertaannya kali ini adalah untuk mengembangkan lagi ilmu dalam bidang agama.

“Saya juga ingin mencuba untuk menghafaz 30 juzuk Al-Quran,” ujar pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya, Presint 18, yang telah menghafaz sepuluh juzuk setakat ini.

Kem Super Tahfiz Mega ini berlangsung serentak hari ini di empat lokasi iaitu Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya; Masjid Universiti Putra Malaysia (UPM); Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang dan Masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sehingga 14 Disember ini.

– SH/AAS

Tinggalkan komen anda