Skip to main content
Berita TempatanSabah

Terharu Tugas Sebagai Pengimbang Bunyi Dihargai

By 27 November 2017Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan : Idris Sani / Foto: Saiful Rahman Sabri (Sabah)

KOTA KINABALU, 27 Nov (Malaysiaaktif) – Tugasan sebagai pengimbang bunyi atau ‘sound balancing’ kelihatan seperti tidak penting, namun tanpanya, bunyi-bunyian dalam sesuatu persembahan hiburan menjadi kurang sedap didengar dan tidak sempurna.

Itu ialah pandangan juruteknik bunyi yang berpengalaman luas dalam seni muzik, Minami T. Anduini, 32, yang juga dikenali sebagai Deejay Suga dalam kalangan peminat Sabah Vfm, Segmen Bahasa Kadazan.

Minami (kiri) dikurniakan pingat SK oleh Tun Juhar.

Minami (kiri) dikurniakan pingat SK oleh Tun Juhar.

Dek bakat luar biasa yang dimiliki, dia yang mula bertugas di Bahagian Hiburan dan Muzik, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Sabah sejak 18 April 2005, turut diberi kepercayaan mengendalikan bahagian bunyi.

Ini sekali gus menjadikannya sebagai orang belakang tabir terpenting khususnya dalam penerbitan program hiburan dan siaran langsung sama ada menerusi televisyen ataupun radio.

Manakala, pengalaman paling bermakna bagi dirinya ialah sewaktu menerbitkan rancangan khas, Ekspresi Kombo sempena sambutan Hari Jadi Rasmi Yang Dipertua Negeri, Tun Dr Juhar Datuk Mahiruddin Ke-61.

“Saya sedikit gementar dan teruja apabila diberi tugasan melibatkan seseorang yang paling disegani di negeri ini. Tetapi saya bersyukur, rancangan tersebut akhirnya berjalan lancar.

“Pada ketika itu, Tun Juhar membuat persembahan bersama anaknya, Al Hambra sambil disaksikan Toh Puan Norlidah Tan Sri R.M Jasni di Studio RTM dan ini jelas memperlihatkan bahawa keluarga Tun Juhar sangat meminati muzik.

“Selepas program tersebut, RTM Sabah kerap menerima kunjungan Tun Juhar untuk bersama para pemuzik, Kombo RTM,” kongsinya setelah dianuhgerahkan darjah Pingat Perkhidmatan Terpuji (S.K) dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Sabah di Istana Negeri, pada Rabu.

Demi mengembangkan lagi industri seni tanah air, anak jati Papar yang sering dianggap rakyat Jepun kerana namanya itu, berazam mencurah ilmu kepada sesiapa yang berminat mendalami sound balancing.

“Saya akan mencurahkan ilmu kepada sesiapa yang berminat dalam sound balancing kerana tugasan ini memerlukan minat yang mendalam,” katanya yang kerap diundang sebagai penceramah teknikal dalam beberapa kursus berkaitan audio.

SF

Tinggalkan komen anda