
Laporan & Foto Oleh : Mohd Zahid Bin Othman & Mohd Najib Bin Mohaini (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 3 Jan (Malaysiaaktif) – Bayi yang dilahirkan di negeri Johor bermula pada 1 Januari 2018 boleh memohon Dana Didik Jauhar Kids. Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan Negeri, Datuk Ayub Rahmat menyatakannya diMajlis Pra-Pelancaran Dana Didik Jauhar Kids di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada hari ini.
Program ini sebelumnya telah pun diumumkan oleh Menteri Besar Johor semasa ucapan beliau pada Pembentangan Bajet Johor 2018 yang lalu.

Borang permohonan skim Dana Didik Jauhar Kids boleh dipohon mulai 1 Januari 2018 bagi kelahiran bayi di negeri Johor.
Ayub Rahmat berkata, melalui skim ini Kerajaan Negeri Johor akan menyediakan dana sebanyak RM50 dibawah akaun SSPN-i PTPTN dan dana ini akan matang apabila anak tersebut mencapai umur 18 tahun.
“Dan dalam tempoh tersebut, ibu bapa atau penjaga boleh menambah jumlah simpanan dalam akaun SSPN-i dan apabila tamat tempoh 18 tahun itu, Kerajaan Negeri Johor melalui PTPTN akan memberikan geran padanan mengikut jumlah simpanan sehingga simpanan maksima RM10,000.

Dana Didik Jauhar Kids ini sejenis pelaburan jangka panjang menguntungkan kerana hasrat kerajaan untuk kurangkan beban keluarga apabila anak ini membesar – Datuk Ayub Rahmat
Ini adalah merupakan sejenis pelaburan jangka panjang yang menguntungkan kerana hasrat kerajaan adalah untuk mengurangkan beban keluarga apabila anak ini membesar seperti digunakan untuk melanjutkan pelajaran di universiti atau sebagai modal perniagaan jika anak tersebut tidak mahu melanjutkan pelajaran,” jelasnya lagi.
Kerajaan Negeri Johor melalui Yayasan Pelajaran Johor dengan kerjasama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan beberapa agensi berkaitan telah bekerjasama dalam melaksanakan program Dana Didik Jauhar Kids bertujuan untuk membudayakan tabiat menabung bermula peringkat awal kelahiran, bagi tujuan pendidikan.
Salah seorang pesakit di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru yang juga seorang ibu muda dari Kulai Thulasi A/P Suppiah, 33, berkata, beliau amat teruja apabila mendengar tentang kewujudan dana ini yang pastinya memberi kelebihan kepada anak beliau yang baharu dilahirkan pada 1 Januari yang lalu.
“Saya mengetahui mengenai Dana Didik Jauhar Kids ini melalui surat khabar dan apabila diberikan penjelasan mengenainya, saya rasa ini adalah satu skim yang bagus untuk anak saya,” katanya.
Chong Lee Ling, 38, dari Johor Bahru pula berkata, skim baharu ini merupakan satu rezeki buat anak kedua beliau yang dilahirkan pada 2 Januari yang lalu.

Skim Dana Didik Jauhar Kids baharu ini merupakan satu rezeki buat anak kedua beliau yang dilahirkan pada 2 Januari yang lalu – Chong Lee Ling
“Ini satu peluang kepada ibubapa untuk memberi jaminan pendidikan kepada anak-anak apabila mereka besar dan saya akan membuka satu akaun apabila membuat pendaftaran kelahiran anak di JPN nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Nurul Izati Azman, 24, juga berpendapat Dana Didik Jauhar Kids ini satu skim pelaburan yang menguntungkan untuk masa hadapan anak-anak.
“Skim ini memberi kelebihan buat rakyat Johor sebabnya kita boleh memohon skim yang sama diperkenalkan oleh Perdana Menteri iaitu skim Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) dan pada masa sama memohon untuk skim Dana Didik Jauhar Kids,” katanya.
Borang permohonan skim Dana Didik Jauhar Kids boleh diperolehi di semua wad bersalin hospital-hospital utama di Johor, Yayasan Pelajaran Johor, semua cawangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di negeri Johor dan semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara di negeri Johor mulai 1 Januari 2018.
Hadir sama pada majlis tersebut adalah Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Hajah Rooshaimi Merican A.Rahim Merican, Pengurus Besar Yayasan Pelajaran Johor, Haji Ab. Han Ramin dan Pengarah Penerangan Negeri Johor, Zainudin Haji Ismail.
– MRR