
Laporan dan foto oleh : Jusman Hedoh (Sabah)
TAWAU, SABAH, 20 Feb. (Malaysiaaktif) – Sebanyak 10 buah rumah yang mengalami kerosakan atap menerima bantuan berupa zink di Kampung Inderasabah pada Isnin.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan sentiasa ambil tindakan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk bantuan kerosakan atap rumah.
“Keluh kesah masyarakat amat dititik berat kerajaan, ini kerana kerajaan tidak hanya bercakap tetapi turun padang membantu untuk meringankan beban penduduk.
“Bantuan yang diberikan ini bukan sahaja diberikan kepada masyarakat di pinggir bandar malah turut melibatkan pemberian bantuan kepada penduduk di luar bandar.
“Kita akan terus kenal pasti rumah-rumah yang memerlukan bantuan atap tanpa mengira sejauh mana mereka berada, kita akan terus cari dan bantu,” katanya.

Nizam (kiri) turut mendengar keluhan penduduk terhadap kerosakan atap yang dialami semasa mengadakan lawatan ke kampung berkenaan.
Tambahnya lagi, diharap rakyat dapat menikmati kemudahan ini dan memilih untuk terus bersama kerajaan agar kerajaan terus dapat menghulurkan bantuan serta melaksanakan pembangunan untuk manfaat dan kesejahteraan bersama.
“Jika kerajaan terus mentadbir sama ada di persekutuan dan negeri, saya yakin bahawa pelbagai projek pembangunan untuk rakyat akan terus dilaksanakan.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan zink kepada 10 buah rumah terpilih yang memerlukan bantuan baiki atap di Kampung Inderasabah pada Sabtu di sini.
Katanya lagi, rakyat terutamanya di kampung ini perlu sentiasa berhati-hati agar tidak mudah tertipu dengan janji-janji manis permainan pihak tertentu yang semakin aktif menabur janji.
“Jangan mudah terima janji yang belum pasti, terus bersama kerajaan kerana kerajaan hari ini terbukti mampu membawa perubahan, lihat sahaja hari ini pelbagai pembangunan dilakukan kerajaan untuk rakyat termasuk di kawasan ini.
“Ingat, jangan mudah termakan, tertipu dengan propaganda mainan pihak tidak bertanggungjawab kerana realitinya adalah sebaliknya,” ujarnya.
Jelasnya lagi, janganlah kita sanggup memperjudikan nasib anak bangsa kita yang ketika ini sedang menikmati indahnya keharmonian dan perpaduan antara pelbagai suku kaum di negeri ini.
“Sebagai Naib Ketua Umno Bahagian Tawau, saya percaya bahawa pembangunan yang dibawa oleh kerajaan ialah janji yang ditepati dan bukan kosong, keperluan rakyat keutamaan kami.
Nizam turut memperingatkan kepada semua penerima bantuan agar memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang diberikan untuk membaiki kerosakan yang berlaku di kediaman masing-masing.
“Diharap bantuan ini mampu mengembalikan senyuman penduduk terbabit dan kembali tidur lena dan bersyukur,” ujarnya.
Hadir sama Pegawai Kemajuan Negeri Sabah Dato Hj Ruji Ubi dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Apas, Sarman Amat Simito.
-MRR