
Laporan dan foto : Mohd Baharruddin Mohamad & Razali Ihi (Sarawak)
SARATOK, 22 April (Malaysiaaktif) – Seramai 15 orang pelajar dari empat universiti tempatan menerima Biasiswa Yayasan Sarawak Tun Taib dan Biasiswa Tunku Abdul Rahman.
Biasiswa tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini semasa program Sejiwa Senada 2018 Bahagian Betong di Dataran Saratok, semalam.
Antara yang menerima anugerah tersebut ialah Muhammad Norhelmi Ahmad yang mengikuti Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang biokimia dan kejuruteraan bioproses
dari Universiti Malaysia Sarawak dan Bernard Maringgal yang berbangsa Iban, penuntut PhD dalam Kejuruteraan Proses Pertanian dari Universiti Putra Malaysia.
Menurut urusetia Yayasan Sarawak penerima anugerah dari pelbagai bangsa, keturunan dan agama dari pelusuk negeri Sarawak yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik.
Muhammad Norhelmi Ahmad, 26 berasal dari Kampung Tanjung Saratok berkata dengan adanya biasiswa ini, ia dapat membantunya dalam menyiapkan kajiannya untuk kemajuan negeri Sarawak.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Yayasan Negeri Sarawak atas biasiswa yang diberi ini,” katanya.

Norhelmi terharu diberikan penghargaan oleh kerajaan negeri dan berikrar akan membantu memajukan pembangunan negeri kelak.
Seorang lagi penerima biasiswa, Michael Lian Gau, 21 dari Long Palai, Merudi, Miri yang mengambil Sarjana Komputer Sains dalam Kejuruteraan Perisian bersyukur kerana dihargai.
“Saya bersyukur dan lega apabila diberi biasiswa ini, dan dengan adanya biasiswa ini saya akan belajar dengan lebih tekun lagi dan semoga saya berjaya dalam pengajian ini,” ujarnya.
Terdahulu Abang Johari turut menyampaian Sijil Pelantikan Ketua Kaum Bahagian Betong, serta menyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri di Daerah Saratok kepada penduduk sekitar.
Program Sejiwa Senada 2018 Saratok Betong dihadiri lebih lapan ribu orang penduduk berdekatan di Bahagian Betong.
Antara yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, dan Setiausaha Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.