
Laporan oleh: Asmidar Zainol/Foto: Abdullah Sani Ariff Lokman
Kota Kinabalu, 26 Mei (Malaysiaaktif) -Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terbuka dengan setiap komen atau cadangan yang dikemukan kepada agensinya, kata Mayor DBKK, Datuk Yeo Boon Hai.
“Rakyat mahukan perkhidmatan yang baik dan kita berharap dapat berkerjasama rapat dengan kerajaan baharu untuk menyelesaikan isu kesesakan lalulintas, pengangkutan dan banjir dengan kadar segera.
“Diharapkan dengan taklimat ini kerajaan baharu dapat berkerjasama dan memberi nasihat serta teguran sekiranya terdapat sebarang kelemahan perkhidmatan DBKK kepada saya,” katanya selepas memberi taklimat kepada lima Pembantu Menteri, Ahli Parlimen Kawasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Ibu Pejabat DBKK, pagi tadi.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kawasan P.172 Kota Kinabalu, Chan Foong Hin yang hadir pada taklimat tersebut menyatakan maklumat yang dibentangkan akan dibawa kepada kementerian agar peruntukan segera dapat disalurkan khususnya dalam usaha mengatasi kesesakan lalulintas dan meningkatkan sistem pengairan serta saliran.
“Memandangkan pada masa kini maklumat boleh didapati dengan mudah, saya juga berharap dialog sebegini akan diteruskan dan DBKK dapat mempertimbangkan untuk menyiarkan dialog tersebut secara langsung di Facebook DBKK agar ia dapat dilihat oleh rakyat di Kota Kinabalu,” ujarnya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang yang berharap dialog berkenaan dapat dilaksanakan sekali sebulan serta mengusulkan pihak berwajib mengadakan Hotline atau satu kaedah agar mereka boleh dihubungi dan mempercepatkan maklum balas.
Hadir sama pada sesi tersebut adalah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri yang juga ADUN N.57 Seri Tanjung, Jimmy Wong; ADUN N.14 Likas, Tan Lee Fatt dan ADUN N.16 Luyang, Phoong Jin Zhe.
Tempoh dua jam tersebut kesemua mereka diberi taklimat berkenaan pengenalan dan fungsi DBKK serta sistem peparitan dan saliran serta banjir di sekitar Kota Kinabalu, Tanjung Aru Eco Development (TAED), Bus Rapid Transit (BRT) dan Pengurusan Lalulintas.
-MRR