
Laporan/foto: Norazura Abdul Latif (Melaka Tengah)
MELAKA, 1 Nov (Malaysiaaktif) – Putra Specialist Hospital Melaka Sdn Bhd melalui kerjasama dengan kerajaan Negeri Melaka telah menganjurkan Program Flag off Pink Fun Walkathon 2018 bertempat di Putra Specialist Hospital, baru-baru ini.
Program yang telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari telah melakar sejarah apabila menerima penyertaan hampir 900 orang peserta terutamanya bagi kaum wanita dan ianya merupakan sesuatu yang harus dibanggakan.
Menurut Adly Zahari, setiap wanita perlu mempunyai kesedaran untuk mencegah penyakit ini dari awal kerana kanser ini merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi daripada sel yang bermula dari bahagian payudara dan berkembang melalui proses pembahagian seterusnya menyerang organ serta tisu badan.
“ Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha murni pelbagai agensi terutamanya Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam mengadakan kempen sebegini dan langkah ini wajar dipuji kerana kesedaran terhadap penyakit ini dipandang remeh oleh rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.
Peserta program, Wong May Lee, 56 , yang ditemui berkata, bulan Oktober adalah Bulan Kesedaran Barah Payudara dan program sebegini adalah yang pertama kali disertainya kerana ia dapat memberikan pendedahan berkaitan penyakit yang menyerang kaum wanita.
“ Terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya pihak Putra Specialist Hospital kerana menganjurkan program yang bermanfaat dan diharapkan diteruskan dari semasa ke semasa “, ujarnya.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Roslan Ibrahim , Timbalan Speaker Kerajaan Negeri Melaka, Wong Fort Pin, dan Exco kerajaan negeri Melaka.