
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 9 Dis (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengingatkan semua agar tidak mudah melayan sentimen-sentimen yang boleh mengugat perpaduan kaum yang sedia wujud di negara ini, khasnya di negeri Selangor.
“Sentimen tersebut seolah-olah kerajaan negeri bersikap kurang prihatin, cuba mengadaikan rumah-rumah ibadah atau tidak membenarkan amalan agama diamalkan.
“Ia bukan prinsip kita, cuma kita harus berada di medan perbincangan untuk selesaikan dengan baik dan tidak melakukan perkara yang tidak wajar,” katanya.
Menurutnya, memang diakui kadang-kadang berlaku selisih faham mengenai isu-isu tertentu, namun majoriti rakyat di negara ini tidak menerima sebarang aktiviti keganasan atau keadaan tidak aman.

Amirudin (memakai Bunga malai) menyaksikan pemimpin kaum India menyalakan pelita sebagai simbolik sambutan Deepavali DUN Sungai Tua.
“Prinsip kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah meraikan semua kelompok selagi ia dipertahankan oleh perlembagaan.
“Kita mempertahankan semua rumah ibadah di negeri ini, orang Islam boleh mengamalkan ajaran sepenuhnya tetapi dalam masa yang sama kita tidak menekan kaum lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka,” ujar beliau.

Amirudin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak sempena Sambutan Deepavali DUN Sungai Tua di Padang Batu Caves, semalam.
Beliau berkata demikian semasa berucap di hadapan lebih 1,000 orang pengunjung Rumah Terbuka Deepavali peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua di Padang Batu Caves, di sini semalam.
Jelas Amirudin, sejak 2008 banyak bantuan disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR).
“Tahun ini kita telah belanjakan RM22 juta dan pada tahun hadapan telah diperuntukkan sebanyak RM24 juta untuk menaik taraf sekolah-sekolah tersebut.
“Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk program keusahawanan masyarakat India dan jumlah tersebut akan dikekalkan pada 2019,” katanya yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua.
Tambah beliau, kerajaan PH bukan hanya bercakap kosong, ianya dapat dibuktikan apabila lebih 1,400 belia India berjaya dilatih melalui program pengupayaan dan keusahawanan.
“Selagi pemimpin-pemimpin berpegang kepada prinsip ini, saya percaya PH akan terus menjadi kerajaan di Selangor dan Malaysia, membentuk Malaysia Baharu berdasarkan perlembagaan,” katanya.
-NAZ