Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Prosedur Kemasukan ke Sekolah Bagi Kanak-kanak Yang Berumur Bawah Enam Tahun

By 26 Disember 2018Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan: Syed Hisyam (Putrajaya)
PUTRAJAYA, 26 Dis (Malaysiaaktif) – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui satu kenyataan media menjelaskan berkaitan kelonggaran syarat yang diberikan kepada kanak-kanak (warganegara) yang belum mencapai umur enam tahun untuk mengikuti sesi persekolahan Tahun Satu bagi kohort umurnya.

Kanak-kanak ini mestilah telah mengikuti kelas prasekolah atau tadika dan memenuhi kriteria yang ditetapkan serta mencapai tahap yang munasabah sesuai dengan kemasukan awal ke Tahun Satu.

“Calon kanak-kanak terbabit perlu melalui modul saringan bertulis yang mudah dan modul temubual yang ringkas. Kedua-dua modul ini dibuat secara berpusat di semua negeri. Kanak-kanak yang melepasi kedua-dua modul akan ditawarkan tempat di Tahun Satu.

“Modul saringan bertulis dan modul temubual dibina oleh panel yang terdiri daripada pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang prasekolah. Ujian saringan ini telah diamalkan sejak tahun 2003,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan tersebut, saringan yang dilaksanakan ini bukanlah bertujuan untuk menafikan hak seseorang kanak-kanak bagi mengikuti alam persekolahan atau mengenakan tekanan ke atas mereka.

“Proses saringan adalah penting bagi memastikan kanak-kanak terbabit benar-benar telah bersedia untuk mengikuti persekolahan Tahun Satu lebih awal dari kohort umurnya serta mencapai tahap munasabah dari segi kesediaan mental dan kemampuan membaca sesuai dengan perkembangan kanak-kanak yang berumur 6 tahun dan ke atas,” tambah kenyataan tersebut.

Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjawab isu yang dikeluarkan akhbar tempatan berkaitan isu “Syarat Kemasukan Kanak-kanak Di Bawah Umur Untuk Mengikuti Persekolahan Tahun Satu.”

Permohonan kemasukan kanak-kanak di bawah umur ke Tahun Satu boleh dibuat dengan mengisi borang PMA01, yang boleh diperoleh di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang berhampiran.

Tinggalkan komen anda