
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman/Ariza M. Zaki (Seberang Perai Utara)
BERTAM, 17 Jan (Malaysiaaktif) – Bahagian Perkhidmatan Klinik Bergerak, Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang, merupakan salah satu inisiatif memberi rawatan perubatan yang ringan secara percuma kepada penduduk Islam Pulau Pinang.Ianya telah hampir 15 tahun beroperasi dari tahun 2004 dibawah pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang(MAINPP).
Menurut Dr. Zurina Idrus, 54 tahun di antara perkhidmatan yang disediakan di klinik bergerak ini adalah seperti pemeriksaan tekanan darah, gula dalam darah(kencing manis), pemeriksaan berat badan dan juga khidmat nasihat amalan pemakanan. Jika terdapat kes-kes yang memerlukan pemeriksaan lanjutan, beliau akan membuat surat rujukkan untuk membolehkan pesakit mendapatkan rawatan susulan ke hospital berdekatan.
“Biasanya perkhidmatan Klinik Bergerak ini akan beroperasi selama 2 jam sahaja, bermula jam 9. 00pagi sehingga 11.00pagi dan kebiasaannya dalam sesuatu lokasi, 30 hingga 45 orang akan mendapatkan rawatan ini secara percuma”, ujar Dr. Zurina yang telah 15 tahun berkhidmat sebagai pegawai perubatan disini.
Perkhidmatan ini diberikan kepada penduduk yang sukar keluar untuk mendapatkan rawatan disebabkan pelbagai faktor seperti keadaan kesihatan warga emas,tiada kenderaan pengangkutan, pesakit tiada pekerjaan tetap dan wang. Matlamat utama, PUZ adalah memberikan perkhidmatan ini secara percuma kepada golongan ini supaya mereka tidak terpinggir dalam memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa berada dalam tahap terbaik.
Puan Fatimah Abu Samad, 70 tahun daripada Seberang Jaya yang kebetulan ke jeti nelayan di Padang Benggali ini,dimaklumkan terdapat pemeriksaan percuma oleh PUZ di Masjid Padang Benggali. “Ini kali pertama saya mengetahui terdapat program pemeriksaan kesihatan ini secara percuma dan cepat” , katanya lagi.
Pengerusi Masjid Padang Benggali, Encik Mohamed Salleh Ahmad memberitahu program ini amatlah baik sekali terutama kepada qariah di sekitar ini. Selain pemeriksaan kesihatan secara percuma yang pantas serta mudah, ianya dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim antara ahli qariah.