
Laporan/foto : Pai Syahira Yahya
PEKAN, 23 Jan (Malaysiaaktif) – Mesyuarat Jumaah Pangkuan Diraja Pahang memutuskan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang kelima.
Manakala, putera sulung Al-Sultan Pahang, Tengku Panglima Besar Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah pula dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang.
Pemasyhuran tersebut akan diadakan selepas mendapat perkenan, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah.
Tengku Hassanal ketika ini sedang melanjutkan pengajian ketenteraan di Akademi Tentera Diraja Sandhurst di United Kingdom.
Tengku Hassanal dijadualkan pulang dari United Kingdom ke Malaysia pada 28 Januari ini untuk istiadat pemasyhurannya sebagai Tengku Mahkota Pahang yang baharu.
Istiadat pemasyhuran bakal diadakan pada 29 Januari 2019 di Istana Abu Bakar, Pekan.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah jawatan Tengku Panglima Besar akan dikosongkan buat sementara.