
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Seberang Perai Tengah)
BUKIT MERTAJAM, 6 Jan (Malaysiaaktif) – Sempena dengan tahun baharu 2019, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Sireh dengan kerjasama KRT Kg. Kebun Sireh telah mengadakan Gotong Royong Mega 1.0 di Kg Kebun Sireh.
Gotong-royong dimulakan dengan taklimat ringkas oleh Dr Noor Farhana, daripada Bahagian Epidemiologi, Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan juga hasrat dan harapan oleh Pengerusi MPKK dan KRT Kg. Kebun Sireh.
Pihak Pejabat Kesihatan SPT turut menerangkan langkah-langkah awal untuk mencegah wabak denggi dan mensyorkan kempen 10 minit setiap hari untuk melakukan aktiviti menghapus kawasan pembiakan denggi di kawasan kediaman masing-masing.
Bagi menambahkan kesedaran terhadap bahayanya denggi, satu sesi perkongsian bersama bekas pesakit demam denggi yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Bukit Mertajam. Puan Yusnita Mohd Yusof, 44 yang juga merupakan dalam kalangan komuniti tersebut menceritakan pengalaman semasa diserang demam denggi dan akhirnya sembuh sepenuhnya.
Menurut beliau, selepas pengalaman ngeri demam denggi yang beliau hadapi, seluruh keluarga lebih cakna dengan keadaan sekeliling kediaman terutamanya bekas-bekas yang berpotensi untuk dijadikan tempat takungan air akan dihapuskan dengan segera. Kempen 10 minit setiap hari untuk menghapuskan tempat aedes membiak turut dilakukan secara santai dan konsisten bersama jiran tetangga.
Bagi memastikan keberkesanan gotong – royong mega ini, pasukan dari Pejabat Kesihatan SPT bersama pasukan Sukarelawan COMBI Pulau Pinang, MPKK dan KRT Kg Sireh telah melakukan lawatan tapak ke lokasi yang dipercayai adanya wabak denggi di sekitar Flat Taman Kebun Sireh Blok A dan B. Pelbagai alat atau barang takungan air yang dijumpai seperti tong cat, tampat tinggal binatang perliharaan dan baldi buruk.
Teguran dan aktiviti ‘search and destroy’ diadakan secara terus terhadap penghuni flat tersebut agat tindakan yang pantas dan tuntas dapat dilakukan bersama. Sesi pendidikan langsung ini mendapat respon positif daripada komuniti kawasan tersebut.
Pejabat Penerangan Daerah SPT juga tidak ketinggalan mengedarkan poster kesedaran denggi sebagai satu mekanisme hebahan berkaitan Kempen Perangi Denggi. Poster-poster tersebut disyorkan untuk ditampatl di rumah, premis-premis berkaitan dan juga bilik-bilik gerakan dan mesyuarat sekitar Kg. Kebun Sireh.