
Laporan/foto: Syafiq Razi/Syafiq Saad (Padang Terap)
KUALA NERANG, 21 Feb (Malaysiaaktif) – Perbezaan warna kulit atau kaum bukan penghalang untuk terus berbakti kepada masyarakat. Hal ini dibuktikan apabila kemiskinan yang dihadapi oleh Munirah Abdullah, 57, yang terpaksa mendiami pondok usang telah mendapat perhatian seorang perniaga berbangsa Cina di Pekan Kuala Nerang yang sanggup membantu membina semula rumah tersebut demi keselesaan penghuninya tanpa meminta apa-apa balasan.
Ong Keen Tong atau mesra disapa Ah Tong semasa ditemui dalam majlis penyerahan rumah tersebut menjelaskan beliau amat tersentuh hati dan amat bersimpati apabila melihat kesempitan hidup Munirah yang serba kekurangan dan berteduh di rumah usang yang hanya menunggu masa untuk roboh.
“Saya kasihan dengan keadaan makcik Munirah, jadi saya tekad untuk membantu beliau memiliki rumah yang sempurna. Saya tidak kisah membantu walaupun berlainan agama dan bangsa,” ujarnya yang ditemui sempena majlis Perasmian Rumah KEDA Bukit Ular, di sini kelmarin.
Munirah yang masih terkejut menerima bantuan tersebut hanya mampu mengucapkan terima kasih atas jasa yang diberikan oleh insan yang kurang dikenalinya.
“Jasa baik Ah Tong tetap akan saya kenang hingga akhir hayat, saya tak sangka ada orang yang sudi menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga,” ujar ibu tunggal empat orang anak ini.