
Laporan/Foto : Mohd Zamzuri Salleh/Mohd Zamri Abdullah (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 26 Mei (Malaysiaaktif) – Setiap kali tiba musim perayaan Aidilfitri warga perantau akan membuat persiapan dan perancangan untuk pulang ke kampung halaman.
Di sebalik kemeriahan itu, laluan darat menjadi pilihan utama warga perantau Kelantan untuk pulang ke kampung halaman dan situasi ini telah mengundang kesesakan di jalan raya.
Kesesakan jalan raya sepanjang laluan ke Kelantan seolah-olah satu pesta, namun memenatkan dengan tempoh masa yang melebihi 10 hingga 18 jam.
Namun, bagi mereka yang berkemampuan, pengangkutan udara sebagai pilihan bagi mengelak kesesakan jalan raya di samping menjimatkan masa perjalanan.
Menurut Pengurus Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa (LTSIP), Ahmad Fikri Samsudin, 39, berlaku peningkatan yang ketara bagi pengguna pengangkutan udara di musim perayaan tahun ini jika dibandingkan tahun-tahun sebelumnya.
“Situasi ini menyebabkan syarikat-syarikat penerbangan membuat penambahan penerbangan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang amat tinggi dan menjadikan LTSIP begitu sibuk dan sesak dengan orang ramai yang pulang untuk berhari raya,” katanya.
Dianggarkan seramai 8,060 orang akan menggunakan pengangkutan udara dan melibatkan sebanyak 63 penerbangan tambahan sepanjang musim perayaan bermula awal bulan Jun 2019 nanti.
Ahmad Fikri berkata kebiasaannya LTSIP menguruskan 56 penerbangan sehari, namun atas permintaan yang tinggi dan pertambahan penerbangan, LTSIP akan menguruskan lebih daripada 70 penerbangan sehari menjelang Aidilfitri.
“Secara keseluruhannya, LTSIP serta warga kerja akan menguruskan 119 penerbangan bermula 31 Mei hingga 11 Jun 2019,” jelas Ahmad Fitri.
“Pengurusan LTSIP juga terpaksa melanjutkan masa operasi di mana kakitangan telah diarahkan untuk bertugas sehingga pukul 1.00 pagi dan mungkin lebih lewat daripada itu jika berlaku sebarang perubahan atau kelewatan jadual penerbangan,” tambahnya lagi.
Dalam menangani kesibukan ini, tahap keselamatan LTSIP sentiasa dipertingkatkan dengan kerjasama pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Kelantan (JPJ) dan Polis DiRaja Malaysia Kelantan (PDRM) bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku di LTSIP Pengkalan Chepa.
Manakala Mohd Said Zakaria, 36, Ketua Keselamatan Penerbangan LTSIP berkata kawalan keselamatan merangkumi penggunaan kawasan parkir kenderaan, lalu lintas, keselamatan barangan pelanggan dan sebagainya akan diberikan perhatian demi keselesaan pengguna.
“Namun demikian ada segelintir pengguna yang agak cuai dalam soal keselamatan barangan mereka seperti tertinggal kunci di dalam kenderaan, lampu kereta yang tidak dimatikan semasa meninggalakan parkir dan cermin kereta yang tidak ditutup,” tambahnya.
Malaysiaaktif juga dimaklumkan, LTSIP adalah antara lapangan terbang domestik ketiga paling sibuk di Malaysia dan cadangan kerajaan untuk naik taraf lapangan tersebut pada tahun hadapan adalah satu langkah yang sangat baik dan bakal memberi lebih keselesaan kepada pengguna.
-NAZ