
Laporan/foto: Musliha Yusof
MUAR, 22 Mei (Malaysiaaktif) – Buah Mulberi merupakan tumbuhan saka berkayu yang tergolong dari keluarga ros dan secara asasnya terbahagi kepada dua iaitu liar atau kultivar (kacukan untuk memenuhi ciri-ciri tertentu).
Mulberi boleh didapati dengan pelbagai saiz dan bentuk di serata tempat. Mulberi hitam atau nama saintifiknya, “Morus Nigra” merupakan jenis pokok yang senang ditanam di negara ini dan sesuai tumbuh di kawasan bersuhu panas dan buahnya akan bertukar menjadi merah kehitaman apabila sudah masak sepenuhnya.
Rasanya yang masam manis, bila ditabur dengan serbuk asam amat digemari oleh pelbagai golongan dan kebiasaannya pada musim perayaan, buah ini akan dijadikan jem untuk kegunaan pelbagai juadah sambutan Hari Raya, khususnya penyediaan kek gulung, lapis dan sebagainya.
Seorang pekebun di sini, Abdul Hadi Yusuff, 63 memberitahu bahawa penanaman pokok ini tidak begitu susah, hanya menggunakan keratan pokok yang sudah matang dan sekiranya mendapat sumber air mencukupi ia akan menghasilkan buah dalam masa sebulan.
“Saya memang suka berkebun dan cubaan menanam pokok Mulberi ini cuma mengisi masa lapang. Namun saya tidak sangka semua pokok Mulberi yang saya tanam mengeluarkan hasil yang banyak dan mendapat permintaan dari masyakat di sini.
“Ada juga penggemar buah ini yang membeli dalam kuantiti yang banyak sehingga 10 kilogram,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya yang terletak di Felda Seri Jaya, Muar.
Buah Mulberi yang merupakan keluarga beri dipercayai mempunyai banyak khasiat dalam keperluan tubuh badan manusia. Walaupun saiz buah ini kecil dan comel, namun ia mengandungi asid sitrik, gula dan Vitamin C. Secara tidak langsung, dengan pengambilan buah Mulberi ini akan membantu kulit kita sihat berseri.
Pokok Mulberi dikatakan mempunyai pelbagai khasiat seperti daunnya mengandungi adenine, amilas, asid suksinik, karotena dan kolin.
Sementara itu, daun Mulberi pula boleh direbus dan digunakan sebagai ubat mencuci mata yang merah dan bengkak manakala air rebusan daun yang kering boleh diminum untuk merangsang peluh, ubat batuk, demam panas dan selsema.
Daun Mulberi juga boleh dihangatkan dan dijadikan ubat tampal pada luka untuk mengurangkan kesakitan.
Selain itu, kulit pokok Mulberi boleh direbus dan dibuat minuman bagi merawat sistem pernafasan, asma, batuk, bronkitis, busung, menyingkirkan kahak dan hingus serta merawat kebas tangan atau kaki.
Akar pokok ini juga mempunyai khasiat tersendiri yang mana boleh direbus untuk diminum bagi merawat asma, batuk, busung, melawaskan pembuangan air kecil dan radang.
Masyarakat hari ini boleh mencuba menanam pokok ini kerana penjagaannya tidak begitu remeh di samping boleh dijadikan satu aktiviti sihat dalam mengeluarkan peluh dan terapi minda.