
Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)
KANGAR, 25 Mei (Malaysiaaktif) – Walaupun berbeza negara, ini tidak menghalang rakyat Malaysia-Thailand untuk berbuka puasa bersama-sama.
Menurut Timbalan Setiausaha (Pengurusan) Kerajaan Negeri Perlis Ahmad Zakaria, penganjuran program ini adalah untuk meraih dan meningkatkan sokongan serta mengeratkan lagi hubungan masyarakat muslim terutamanya di kedua-dua belah negara yang berjiran ini.
“Lebih daripada tiga ratus orang penduduk dan anggota badan beruniform di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand menghadiri majlis ini.
“Matlamat kami adalah untuk memupuk semangat kerjasama dan saling berinteraksi di antara penduduk dan anggota kerajaan di kawasan sempadan dan berharap penduduk di kedua-dua belah negara dapat saling membantu dari segi penyampaian maklumat berkaitan aspek keselamatan dan pencegahan jenayah di antara kedua negara,” ujarnya ketika ditemui, di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Padang Besar, di sini semalam.

Thawon (dua dari kiri) turut menyampaikan sumbangan al-Quran dan sejadah kepada imam Masjid Salahuddin al-Ayubi.
Majlis Berbuka Puasa Sempadan Malaysia dan Thailand ini merupakan anjuran Sekreteriat Seksyen Keselamatan Pembangunan Sempadan Thailand (SKPST) dan Majlis Keselamatan Negara Negeri Perlis.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sadao Leftenan Kolonel Thawon Ponka, berterima kasih atas usaha penganjur atas inisiatif yang diadakan ini.
“Saya berharap agar persahabatan antara agensi kerajaan di kedua-dua belah negara di kawasan sempadan ini akan berkekalan sampai bila-bila,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Ketua Polis Perlis Zamri Mat Zanu.
–SH