
Laporan/foto: Edawati Sulaiman@Hod/Parameswary Lekshmnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 4 Jun (Malaysiaaktif) – Walaupun ramai warga kota telah pulang ke kampung halaman, namun masih terdapat segelintir yang masih belum selesai menyiapkan kelengkapan raya.
Persiapan saat akhir ibarat satu lumrah kepada warga kota yang masih belum pulang ke kampung.
Rata-rata masyarakat memilih bazar Ramadan untuk membeli keperluan raya kerana ia merupakan pusat sehenti dengan pelbagai jenis pilihan barangan serta tawaran harga yang menarik.
Salah satu bazar Ramadan yang mencuri tumpuan tahun ini adalah Bazar Ramadan Jalan Raja. Ia merupakan gerai jualan bazar Ramadan di Jalan Tunku Abdul Rahman (Jalan TAR) dan Jalan Masjid India yang telah dipindahkan mulai awal Ramadan tempoh hari.

Selain daripada tekstil, gerai menjual makanan seperti serunding, ketupat, lemang dan rendang turut menjadi tumpuan orang ramai.
Tinjauan Malaysiaaktif mendapati lelongan harga telah mula dibuka kepada orang ramai sejak pagi tadi lagi.
Menurut seorang pengunjung yang mahu dikenali dengan panggilan Puspa, 49, membeli-belah saat akhir sememangnya telah menjadi kebiasaan bagi mendapatkan harga yang lebih murah dengan potongan yang paling rendah berbanding hari biasa.
“Bazar di sini lebih selesa berbanding di Jalan TAR. Jika dahulu gerai-gerai sangat padat dan kita pula terpaksa berhimpit-himpit dengan orang ramai, namun di sini semuanya mudah dan selesa.
“Bazar Ramadan menjadi pilihan utama saat akhir untuk membeli keperluan menyambut 1 Syawal kerana terdapat banyak pilihan pada satu tempat,” ujarnya yang datang dari Selayang.
Sementara itu, bagi Normala Abd. Rahman, 56, yang telah berniaga hampir 12 tahun, beliau sangat berpuas hati apabila kurta yang dijualnya masih mendapat sambutan hangat daripada pembeli pada tahun ini walaupun gerainya telah berpindah ke sini.
“Allhamdullilah, bazar ini mendapat sambutan hangat dua kali ganda dari Jalan TAR sejak dua minggu akhir ini khususnya pada waktu malam. Mungkin malam ni, lagi ramai daripada malam sebelumnya sebab ramai yang akan mula membuat lelongan harga runtuh.
“Saya dah buka jualan lelong dengan potongan 50 peratus sejak pagi tadi hingga bazar ditutup untuk menghabiskan stok akhir sebelum balik raya,” kata Normala yang akan pulang ke kampungnya di Tanjung Malim.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyediakan sebanyak 344 gerai jualan dan tapak trak makanan sebagai kemudahan pengunjung untuk membeli-belah sambil berbuka puasa.
Usaha pemindahan bazar ini membuahkan hasil apabila mendapat sambutan hangat daripada pengunjung tempatan mahupun luar Kuala Lumpur, dengan kemudahan bazar telah ditambah baik dengan menyediakan 36 unit penyaman udara, tandas dan surau bergerak untuk keselesaan orang ramai.
-SH