
Laporan/foto: Eviannie Kin/ Jhonny Joklis (Kota Kinabalu)
KUDAT, 5 Jul (Malaysiaaktif) – Bangunan Asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Balambangan dijangka boleh diguna sepenuhnya pada September tahun ini.
Ketua Petronas Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Rokiah Sulaiman berkata, projek di bawah Petronas itu dimulakan sejak April tahun lepas kini telah hampir 80 peratus siap dengan kos pembinaan sebanyak RM4 juta.
“Asrama ini boleh memuatkan 120 katil dan dibina bagi memberi kemudahan kepada para pelajar sekolah terbabit untuk tinggal semasa sesi persekolahan.
“Selain dua blok asrama lelaki dan perempuan, turut dibina adalah dewan makan, surau, tandas dan pejabat warden,” ujarnya semasa ditemui media selepas Lawatan Tapak Projek AHLB di SK Balambangan pada Khamis.
Jelas Rokiah, dengan adanya asrama berkenaan, ia juga dapat membantu meningkatkan jumlah peratusan kehadiran murid ke sekolah.
“Ini kerana ada pelajar dari Kampung (Kg) Kok Simpul yang terpaksa berjalan kaki selama sejam dan melalui jalan hutan selain pelajar dari Kg Batu Sirih yang perlu menaiki bot setiap hari untuk hadir ke sekolah.
“Ada masanya, mereka tidak dapat hadir ke sekolah kerana faktor cuaca,”kongsinya.
Tambah Rokiah, melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), Petronas akan terus membantu dan menyokong kerajaan negeri untuk meningkatkan tahap kualiti dan akses pendidikan di luar bandar di negeri ini.
-EM