
Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas kabinet bagi memantau dan melipatgandakan inisiatif pembangunan sektor pelancongan luar bandar Sabah secara bersepadu.
Jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Christina Liew, merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKASS) dibantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) Datuk Ewon Benedick.
Menurut Ewon, kerajaan negeri pada dasarnya bersetuju ke atas fokus jawatankuasa berkaitan pewujudan polisi kerajaan negeri berkenaan perusahaan pelancongan luar bandar, isu aktiviti pelancongan luar bandar di kawasan perhutanan, pulau dan persisiran pantai serta keperluan menaiktaraf jalan-jalan menuju ke pusat aktiviti pelancongan komuniti.
“Jawatankuasa ini juga bersetuju supaya program promosi, pemasaran dan pembangunan produk pelancongan luar bandar sedia ada perlu diperkasakan.
“Kerajaan negeri perlu memperkenalkan polisi khusus bagi sektor pelancongan luar bandar yang mencakupi isu pengeluaran lesen, pematuhan aspek keselamatan, pelan pembangunan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Ewon turut menyatakan bahawa jawatankuasa tersebut akan mengemukakan input kepada penyediaan bajet tahunan kerajaan, terutamanya Rancangan Malaysia Ke-12 berkaitan keperluan pembangunan infrastruktur asas iaitu menaiktaraf jalan-jalan menuju ke pusat aktiviti pelancongan.
“Kita melihat secara spesifik keperluan menaiktaraf jalan-jalan menuju ke pusat pelancongan ini sebagai pemangkin utama sektor ini. Justeru, kita mencadangkan supaya jalan-jalan ini dikategorikan sebagai Jalan Pelancongan Luar Bandar sama seperti kita mengkategorikan jalan pertanian supaya bajet khusus dapat disediakan untuk keperluan ini.
“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun, pada dua minggu lepas dan lawatan beliau ke Sabah pada bulan hadapan memberi tumpuan kepada syor pembangunan jalan-jalan pelancongan luar bandar bermula dengan kunjungan beliau ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
“Kita akan menyediakan data terperinci kategori jalan-jalan ini di seluruh Sabah untuk dibincangkan dengan lebih lanjut bersama KPLB Persekutuan semasa lawatan tersebut,” tambahnya.
Dalam mesyuarat pertama tersebut, semua Pegawai Daerah turut dijemput hadir bagi taklimat khusus yang diberikan oleh KEPKASS.
“Jawatankuasa ini juga akan melihat isu berkaitan pelancongan di perkampungan adat yang termasuk dalam kawasan perhutanan, di pulau dan persisiran pantai.
“Untuk itu, jawatankuasa akan melibatkan beberapa jabatan atau agensi kerajaan yang terlibat agar dapat bersama-sama melihat aspek perundangan yang berkaitan bagi membolehkan aktiviti pelancongan dapat dibangunkan di perkampungan ini,” katanya.
Ewon menaruh harapan tinggi dengan penubuhan jawatankuasa khas kabinet ini dapat menyediakan usaha bersama yang bersepadu dan berfokus bagi membangunkan sektor pelancongan luar bandar.
-SH