
Laporan/foto: Fitrinah Bahrin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Sebanyak 404 pain darah berjaya dikumpul Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) sempena Program Jelajah Kempen Derma Darah Kumpulan SEDCO 2019 di bandar Sandakan dan Lahad Datu.
Kempen yang membawa slogan ‘Setitis Darah Sejuta Harapan’ ini diadakan bertujuan untuk membantu masalah kekurangan bekalan darah di unit tabung darah hospital-hospital utama kerajaan selain memupuk kesedaran tentang pentingnya menderma darah terutama bagi membantu pesakit-pesakit talasemia selain aspek kesihatan individu serta di kalangan masyarakat setempat.
Siri jelajah khidmat masyarakat yang masuk tahun kedua itu bermula di daerah Sandakan pada 14 Julai di Harbour Mall, Sandakan manakala di Lahad Datu pada 21 Julai di Kompleks Darvel Bay, Lahad Datu.

Salah seorang petugas dari Lahad Datu Flour Mill Sdn Bhd menunjukkan angka 300 pain darah yang berjaya dikumpul
Seterusnya program Jelajah Kempen Derma Darah akan diteruskan di daerah Tawau pada 27 dan 28 Julai ini bertempat di Plaza Eastern dan destinasi terakhir adalah di Bandaraya Kota Kinabalu yang akan diadakan pada 1 Ogos bertempat di Pusat membeli belah Suria Sabah.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada, Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Pertubuhan Komuniti Pendarah Darah Malaysia (PerDarah), Lahad Datu Flour Mill Sdn Bhd, Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau.
Pada tahun ini SEDCO mensasarkan sebanyak 1000 pain darah akan dapat dikumpul sepanjang program ini berlangsung.
ER