
Laporan/foto: Mohd Fauzi Mohd Yusoff (Tampin)
TAMPIN, 29 Ogos (Malaysiaaktif) – Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemencheh Shaiful Adly Abd. Wahab, telah mengetuai Kayuhan Jelajah Negeri Sembilan sejauh 300km anjuran Kelab Basikal Kayuhan Lambat yang bermula di Hentian Bas Gemencheh pagi tadi.
Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr. Hasan Bahrom ketika merasmikan program tersebut menyatakan penglibatan peserta daripada pelbagai kaum seperti Melayu, India dan Cina menunjukkan kesepakatan dan kesepaduan dalam kalangan pelbagai bangsa menghayati erti merdeka yang sebenar.
“Selain itu, penglibatan pelbagai kaum juga mempamerkan ikatan silaturahim dan perpaduan kaum di Malaysia yang terjalin kukuh sejak 62 tahun dahulu masih utuh dan kukuh,” katanya, di sini.
Seramai 106 peserta akan berkayuh bermula dari Hentian Bas Gemencheh dan akan melalui Rokan Utara, Batu Kikir dan Teratak Za’aba pada hari ini. Kayuhan ini akan berakhir di Kuala Pilah pada 31 Ogos nanti.
-AK