
Laporan/ foto: Nurazreen Abd Rahman/Ariza Mohamed Zaki (Seberang Prai Utara)
KEPALA BATAS, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Majlis penutup bulan kebangsaan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Kepala Batas di sambut meriah dengan pelbagai aktiviti berunsurkan patriotik seperti persembahan pantomin, nyanyian lagu-lagu patriotik dan pameran. Aktiviti yang bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 11.00 pagi ini telah dihadiri lebih kurang 600 pelajar dan 75 guru yang memberi sokongan pada program ini.
Ucapan dimulakan oleh Penolong Kanan Pentadbiran(PKP), Annuar Che Mat mewakili Pengetua sekolah yang berterima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana kesudian memberikan peluang dan bekerjasama dari segi teknikal kepada sekolah dalam menjayakan program pada hari ini.
“Sekolah bertuah kerana dikelilingi pelbagai agensi kerajaan yang dapat menjalinkan hubungan strategik untuk menyampaikan pelbagai maklumat dan perkhidmatan kepada masyarakat sekeliling,” ujar beliau.
Perasmian majlis disempurnakan oleh Ibrahim Hashim yang mewakili Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang. Dalam ucapannya, beliau berharap para pelajar menghargai kemerdekaan yang dikecapi selama 62 tahun. Selama 446 tahun negara telah dijajah oleh Portugis, Belanda, Jepun yang menyebabkan pelbagai penderitaan kepada rakyat pada ketika itu.
Negara Malaysia bertuah kerana dengan kepimpinan negara yang hebat telah berjaya membawa negara kemakmuran dan kesejahteraan berbanding dengan dengan negara-negara lain.
“Kecemerlangan ini akan diteruskan oleh generasi baru yang berada dihadapan saya ini,” ucap beliau kepada para pelajar sekolah.
-II-