
Laporan/foto: Iswandy Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 30 Dis (Malaysiaaktif) – Bermula sebagai suatu usaha untuk memulihara alam sekitar, akhirnya sistem tagal yang diperkenalkan pada 2010 berjaya mengubah Sungai Entebar di Batu Lintang, Undop menjadi spa ikan semula jadi dan pusat tarikan ekopelancongan dikenali ramai.
Menurut Tuai Rumah Along, melalui pelaksanaan sistem tersebut penduduk berganding bahu untuk memulihara sungai tersebut dan alam sekitar serta ekosistem untuk manfaat generasi akan datang.
“Pemilihan Sungai Entebar sebagai pelaksanaan sistem tagal membawa kemajuan terhadap kampung terbabit ke satu tahap yang lebih tinggi iaitu pembentukan kawasan baharu dalam ekopelancongan Sarawak apatah lagi di situlah terletaknya Air Terjun Wong Pupu.
“Tidak pernah walau sekali kawasan ini menerima kunjungan masyarakat luar termasuk pelancong sebelum ini, Malah, ada di antara penduduk Sarawak sendiri tidak mengetahui kewujudan kampung ini.
“Namun, imej itu berubah selepas sistem tagal diperkenalkan kepada khalayak umum, di mana pada peringkat awal pelaksanaannya, ia masih belum memberikan pendedahan terperinci kepada masyarakat luar terhadap potensi ekopelancongan yang terdapat di Batu Lintang,” katanya ketika ditemui, di sini baru-baru ini.
Menurutnya Along, dengan hanya bayaran masuk serendah RM5 bagi dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti disediakan kepada mereka, termasuk dibawa melawat lubuk ikan, berpeluang memberi makan ikan dan mengenali jenis pokok serta tumbuhan yang menjadi makanan semula jadi ternakan terbabit di tebing sungai dan tiada sesiapa dibenarkan untuk memancing atau melakukan aktiviti perikanan di sungai tersebut.
“Kita juga sedang merancang untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha membangunkan dan mewartakan kawasan Air Terjun Wong Pupu yang terletak berhampiran sebagai kawasan pelancongan selepas kejayaan projek tagal Sungai Entebar ini,” tambahnya.
Melihat kepada perkembangan positif ini, Pemancha Michael John yang juga pewaris utama bagi kawasan Tagal dan Air Terjun Wong Pupu turut menyatakan bahawa pembangunan Sistem Tagal Sungai Entebar dan Air Terjun Wong Pupu perlu dilakukan secara mapan agar manfaatnya bukan hanya sekadar membawa kepada tarikan pelancong, bahkan dapat meningkatkan pendapatan masyarakat setempat dengan menyediakan peluang pekerjaan seperti pemandu pelancong, pekerja perkhidmatan, industri kecil dan sederhana dengan penjualan bahan makanan dan bahan kraf sebagai cenderahati.
“Buat masa ini, kita hanya menyediakan tempat istirahat sementara di kawasan tagal untuk kemudahan pengunjung dari luar, justeru, kita berharap ada pihak tampil menyediakan peruntukan bagi pembinaan inap desa di kawasn ini agar pengunjung dapat meluangkan lebih banyak masa menerokai keindahan landskap persekitaran kampung ini,” katanya.
Sistem yang dilancarkan sejak 10 tahun lalu hasil kerjasama dengan Jabatan Perikanan Darat ini membawa banyak manfaat kepada masyarakat setempat dalam pelbagai aspek, termasuk mengubah imej Wong Pupu sebagai lokasi pelancongan popular di kawasan pinggir Bandar Sri Aman.
-SH