Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Sultan Johor Melawat Mangsa Banjir Di Kota Tinggi

By 11 Disember 2019Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Norasilah Ibrahim/Shahqrul Azim Shaari (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 11 Dis ( Malaysiaaktif ) –  Hujan lebat yang turun sejak empat hari lepas telah menyebabkan beberapa buah taman dan kampung di sekitar daerah Kota Tinggi dinaiki air sehingga memaksa para penduduk dipindahkan ke lima buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang berdekatan dengan kediaman mereka.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar telah berkenan mencemar duli melawat mangsa-mangsa banjir di PPS Kolej Vokasional, Kota Tinggi pada jam 1.45 petang tadi.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail.

Penempatan 526 mangsa banjir daripada 133 keluarga di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi.

Penempatan 526 mangsa banjir daripada 133 keluarga di PPS Kolej Vokasional Kota Tinggi.

Salah seorang mangsa yang ditemui, Esah Ahmad, 63, berkata beliau bersama tujuh orang ahli keluarganya telah berpindah ke PPS ini sejak tiga hari yang lalu setelah rumah mereka telah dinaiki air.

“Rumah kami kerap dinaiki air jika hujan turun berterusan tanpa henti.

“Kami sekeluarga memang sudah bersiap sedia untuk berpindah dan barang-barang akan disimpan di kawasan yang tinggi,” ujarnya.

Esah Ahmad dan keluarganya telah berpindah ke PPS Kolej Vokasional sejak tiga hari lepas.

Esah Ahmad dan keluarganya telah berpindah ke PPS Kolej Vokasional sejak tiga hari lepas.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang banyak membantu keluarganya dan menyediakan tempat penginapan yang selesa.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kota Tinggi, Kapten (PA) Sarulnizam Khirudin memaklumkan, PPS pertama yang dibuka adalah di Sekolah Kebangsaan Teluk Ramunia pada 8 Disember lalu dan masih beroperasi sehingga hari ini diikuti dengan pembukaan empat buah PPS pada 9 Disember di Kolej Vokasional Kota Tinggi, SJK (C) New Kota, Dewan Kampung Batu Ampat dan Sekolah Kebangsaan Mawai.

“Seramai 717 mangsa daripada 182 buah keluarga sedang berada di lima buah PPS termasuk komuniti masyarakat Rohingya yang ditempatkan di PPS SJK (C) New Kota dan memandangkan keadaan cuaca yang masih tidak menentu, anggota kami sentiasa bersiap siaga serta memantau kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir,” katanya.

Makanan yang disediakan oleh anggota RELA untuk mangsa-mangsa banjir.

Makanan yang disediakan oleh anggota RELA untuk mangsa-mangsa banjir.

Pelbagai agensi kerajaan turut terlibat dalam menghulurkan bantuan kepada para mangsa banjir, seperti Polis Diraja Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Majlis Daerah Kota Tinggi, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA).

Barangan keperluan seperti ‘mobile partition’, makanan, bantal, selimut, toto, lampin bayi pakai buang, set kesihatan dan lain-lain turut disediakan oleh agensi-agensi yang terlibat bagi kemudahan mangsa-mangsa banjir di PPS.

-NI-

Tinggalkan komen anda