
Laporan/foto: Mohd Ridhuan Mohd Fadhil Samuel (Kuala Kangsar)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
KERIAN, 25 Feb (Malaysiaaktif) – Simulasi Pilihan Raya melalui Program Demokrasi Kita anjuran Jabatan Penerangan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Perak dilihat dapat meningkatkan kemahiran pengucapan awam dalam kalangan pelajar.
Menurut Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Mohd Taip Ubah, selain memberi pendedahan kepada suasana pilihan raya sebenar, pelajar turut memperoleh teknik pengucapan awam yang berkesan sepanjang proses simulasi berlangsung.
“Ia melalui salah satu elemen dalam simulasi berkenaan iaitu sewaktu proses berkempen yang memerlukan setiap calon meraih undi pelajar-pelajar,” katanya ketika merasmikan Program Demokrasi Kita Kelab Malaysiaku, di sini semalam.
Menurut Mohamad Irfan Ajidin, berkata program ini dapat meningkatkan keyakinan dirinya dalam pengucapan awam selain menghilangkan rasa malu apabila berucap di hadapan orang ramai.
“Pengalaman yang sukar diperolehi apabila terpilih menjadi salah seorang calon dan program ini memberi pendedahan kepada saya berkaitan suasana dalam pilihan raya yang sebenar,” jelas pelajar tingkatan lima ini.
Sementara itu, pelajar, Nur Najwa Izani Zulkifli, 17, meluahkan rasa gembira kerana dapat mempelajari teknik dalam pengucapan awam sebagai wakil rakyat.
“Kesinambungan program ini memberi pendedahan kepada kami pelajar yang berumur 17 tahun ini untuk mengundi pada usia 18 tahun akan datang,” katanya.
-SH