
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Gombak mengambil kesempatan mengedarkan risalah berkaitan wabak Novel Koronavirus kepada orang ramai sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves, di sini hari ini.
Pegawai Penerangan Daerah Gombak, Khairul Shahrizal Ismail, berkata melalui program ‘Info on Wheel’ (IOW) JaPen proaktif bergerak secara bersemuka seramai mungkin dengan orang ramai bagi mengedar dan menerangkan langkah-langkah pencegahan virus tersebut.
“Sememangnya komunikasi secara bersemuka seumpama ini amat berkesan untuk JaPen menyalurkan maklumat kepada orang ramai dan secara tidak langsung kita dapat reaksi daripada mereka.

Khairul Shahrizal (kanan) memberi penerangan berkaitan Koronavirus kepada pelancong asing yang berkunjung di Batu Caves
“Sempena Thaipusam ini, kami turun padang mengedarkan risalah beserta topeng muka dan menerangkan cara-cara pencegahan yang sepatutnya dilakukan,” katanya.

JaPen Gombak gigih memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai Koronavirus dan insiatif yang disediakan oleh kerajaan.
Katanya, menerusi program IOW ini, pihaknya telah bergerak setiap hari bertemu masyarakat khususnya di lokasi-lokasi tumpuan seperti pasar tani, pasar malam, stesen bas serta komuter dan pasaraya.
“Kami bukan sahaja mengedarkan risalah Koronavirus, malah maklumat-maklumat lain berkaitan inisiatif kerajaan turut diedarkan kepada orang ramai.
“Maklumat tersebut seperti Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PekaB40), pengurangan tol Plus 18 peratus dan e-Tunai rakyat.
“Diharapkan maklumat yang disalurkan kepada orang ramai ini dapat disampaikan kepada ahli keluarga dan kenalan mereka,” katanya.
-NAZ