
Laporan/foto: Muhammad Hafiz Bin Khairon (Kuantan)
KUANTAN, 8 Feb (Malaysiaaktif)– Bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Pahang Darul Makmur, telah berlangsungnya Majlis Tilawah Al-Quran peringkat negeri Pahang Darul Makmur kali ke-63, tahun 1441 Hijarah/ 2020 Masihi bermula pada 4 Februari 2020 sehingga 6 Februari 2020.
Kemuncaknya berlangsung di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Pahang dengan keberangkatan KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah mencemar duli bagi merasmikan Majlis Tilawah.
Seramai 30 orang Qari dan Qariah dari pelbagai daerah di negeri Pahang menyertai Musabaqah Tilawah Al-Quran peringkat negeri Pahang ini. Seramai lima orang peserta terbaik daripada Qari dan Qariah telah dipilih, dan johan Qari ialah Mohamad Syaheed bin Sabri yang merupakan Johan Menunggu, manakala bagi Johan Qariah ialah Norhanani binti Ayob dari daerah Bentong.
KDYMM Pemangku Raja Pahang menegaskan peranan orang Melayu menguasai tulisan jawi dalam memahirkan dan memartabatkan bacaan al-quran ketika menyampaikan titah di Majlis Tilawah Al-Quran.
“Sekiranya kita tidak dapat membaca dengan menggunakan tulisan jawi, kebiasaanya kita juga gagal untuk membaca al-quran. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk terus memelihara dan memartabatkan tulisan jawi agar ianya tidak ditelan zaman, ” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang semasa Majlis tersebut.
Di samping itu, Duta Kerajaan Arab Saudi mewakili kerajaan Arab Saudi, Shaikh Abdul Rahman Ibrahim Al- Ruba’ian, mempersembahkan naskah Al-Quran ke sisi KDYMM Pemangku Raja Pahang.
Hadir sama ke Majlis tersebut Menteri Besar dan pembesar-pembesar negeri Pahang Darul Makmur.
-KN