
Laporan/ foto: Mohd Syukri Ibrahim (Kemaman)
KEMAMAN, 7 Feb (Malaysiaaktif) – Penyerahan watikah pelantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) telah diadakan di Hotel Chukai View yang disempurnakan oleh Wan Marzuki Wan Sembok.
Wan Marzuki dalam ucapannya berkata, “Penubuhan MPKKP yang merupakan ejen kepada kerajaan persekutuan di peringkat kampung adalah suatu yang sangat dinanti-nantikan. Saya berharap seramai 160 pengerusi dan setiausaha MPKKP yang dilantik di daerah ini supaya fokus kepada khidmat untuk rakyat sebagai matlamat dan agenda utama.”
“Pengerusi dan setiausaha yang telah dilantik ini perlu bekerjasama erat dengan agensi kerajaan di daerah agar permasalahan di kampung masing-masing dapat diselesaikan secara proaktif dan efisien.”
Beliau juga berharap agar MPKKP dapat melahirkan komuniti luar Bandar yang sejahtera selaras dengan hasrat Perdana Menteri, iaitu untuk merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
Noor Hisham @Mahmud Mohammad, 58, salah seorang pengerusi MPKKP baru dilantik yang ditemui berkata, “Jawatan ini adalah amanah yang perlu saya dijalankan. Setiap permasalahan orang kampung saya akan dibawa ke peringkat lebih tinggi supaya kehadiran kami dapat dirasai oleh penduduk kampung.”

Noor Hisham @Mahmud Mohammad berazam untuk membantu penduduk kampung dalam menyelesaikan permasalahan yang timbul
Norfizam Said, 49 salah seorang setiausaha MPKKP di daerah Kemaman berazam akan berkhidmat sebaik mungkin kepada penduduk kampung di sini.
“Walaupun jawatan saya tidak sebesar pengerusi, tetapi ini adalah amanah yang wajib digalas, selaras dengan kehendak pemimpin kita,” ujarnya mengakhiri perbualan.
-ii-