
Foto: Ihsan Wilayahku
PUTRAJAYA, 19 Feb (Malaysiaaktif) – Kemudahan pinjaman di bawah Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) sesuai dijadikan sebagai modal pusingan bagi mana-mana peniaga dan penjaja yang baru memulakan perniagaan, kata Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GP3KL).
Presidennya, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata pengenalan skim itu tepat pada masanya kerana ramai golongan B40 akan mengambil peluang dan memanfaatkan kemudahan itu untuk memulakan perniagaan pada awal tahun dan menjelang bulan Ramadan.
“Ramai dalam kalangan penjaja, mereka mempunyai modal untuk memulakan perniagaan, namun modal pusingan itu tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan dari segi pembelian bahan, alat-alatan, kos utiliti ataupun sewa bulanan.
“Meskipun hanya maksimum RM5,000 setiap peminjam, ia sudah cukup untuk menampung kosĀ sampingan lain dan skim ini tidak membebankan peminjam membayar pinjaman itu secara konsisten setiap minggu,ā katanya kepada Bernama.
Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad mengumumkan mengenai kemudahan pinjaman di bawah SMKWP yang menawarkan pinjaman maksimum sehingga RM5,000 dengan bayaran balik serendah RM20.19 seminggu. Permohonan bagi pinjaman itu dibuka mulai hari ini.
Menurut Khalid dana pinjaman sejumlah RM500,000 bakal diuruskan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Bank Islam untuk disalurkan kepada 100Ā pemegang lesen penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL) yang merupakan kumpulan sasar skim itu.
Pinjaman yang diberikan secara āone-offā itu turut melibatkan potongan tiga peratus yang akan direkodkan sebagai simpanan peminjam dan dua peratus sebagai caj pentadbiran.
Rosli turut mencadangkan agar cagaran dikenakan ke atas peminjam bagi mengelakkan mereka daripada lewat membayar ataupun tidak membuat bayaran mingguan.
“Bukan semua boleh membayar tepat pada masanya tetapi dengan adanya cagaran maka ia dapat mendisiplinkan peminjam untuk membuat bayaran setiap minggu. Tidak perlulah pihak YWP atau bank untuk mengejar peminjam bagi mendapatkan bayaran daripada peminjam,” katanya.
Presiden Persatuan Usahawan Foodtruck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLFTEA), Muhammad Azlan Abas pula mencadangkan supaya agensiĀ yang terlibat dalam skim itu dapat bekerjasama dengan NGO dan persatuan penjaja dalam mengenal pasti penjaja yang benar-benar memerlukan dana itu.
“KeterlibatanĀ itu perlu kerana kebiasaannya penjaja atau peniaga yang berdaftar dengan persatuan mempunyai latar belakangĀ yang telah ditapis sebelum diterima sebagai ahli dan proses saringan (untuk kenal pasti peminjam layak) itu akan menjadi lebih mudah kerana tidak perlu masa panjang untuk siasatan.
āJadi jika ada kerjasama dengan persatuan, (kita) boleh mengenal pasti peniaga yang benar-benar layak dan proses saringan akan jadi lebih telus,” katanya.
Menurutnya kemudahan simpanan yang ditawarkan menerusi SMKWP juga sangat memudahkan peminjam kerana jumlah itu boleh digunakan untuk membayar balik pinjaman ataupun digunakan untuk perbelanjaan perniagaan.
“Caj pentadbiran juga tidak terlalu tinggi berbanding bank konvensional. Saya yakin skim ini bukan atas keuntungan tetapi bertujuan untuk membantu golongan B40 dalam meringankan beban mereka dalam memulakan perniagaan kecil-kecilan seperti trak makanan,” katanya.
— BERNAMA