
Laporan/foto: Noor Hayati Ab Aziz (Kampar)/Suzira Zainol Abidin (Ipoh)
IPOH, 8 Feb (Malaysiaaktif) – Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak mencemar duli berangkat menyaksikan kemeriahan Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Perak 2020 di Eco Park Taman Botani, kelmarin yang turut mengumpulkan lebih 10,000 pengunjung pelbagai lapisan masyarat berbilang bangsa dan agama.
Membawa konsep ‘Sama-sama Gong Xi’, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak Tan Kar Hing, berkata konsep ini diguna pakai bagi melambangkan kepelbagaian acara mewakili setiap kaum seperti persembahan tradisional, bengkel seni dan budaya.
“Persembahan alatan gendang dan teater yang dibawakan hari ini melambangkan warisan seni muzik yang kaya dan kompleks yang membentuk identiti negara yang tersendiri,” katanya ketika ditemui sempena majlis, di sini.
Menurut Pengerusi Komuniti Harapan Malaysia (KHM) Simpang Pulai A, Mohamed Helmi Mohamed Fuzi, 36, program ini berjaya mengumpulkan masyarakat berbilang kaum dan ini membuktikan sokongan mereka terhadap perayaan kaum lain.
“Biarpun pada awalnya cuaca berisiko untuk hujan dan menjejaskan aktiviti-aktiviti yang telah dijadualkan namun pengunjung tidak berganjak bahkan semakin ramai yang datang memeriahkan sambutan pada malam ini,” katanya.
Menurut pempamer, Leong Yeat Ho, 65, sambutan yang diterima amat menggalakkan daripada pengunjung berbilang kaum yang datang ke bengkel seni menggunting yang dikelolakannya.
“Seni ini bukan saja menjadi warisan kaum Cina tetapi menjadi tarikan buat kaum lain untuk mencubanya.
Saya berasa gembira dapat melihat keunikan budaya ini dikongsi bersama kaum lain dan ini membuktikan bahawa kita hidup harmoni dan sentiasa ingin berkongsi,” ujar bekas guru ini.
-SH