
Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/KKM
PUTRAJAYA, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak 235 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 2,031 kes, manakala 215 kes telah pulih sepenuhnya setakat hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham, berkata berdasarkan siasatan awal, daripada 235 kes baharu yang dilaporkan sebanyak 60 kes adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan di Seri Petaling, manakala baki 175 kes masih dalam siasatan dan mungkin berkaitan dengan lain-lain kluster.
“Sehingga kini, sebanyak 45 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa sehingga kini terdapat pertambahan empat lagi kes kematian berkaitan COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Dr Noor Hisham turut memaklumkan setakat ini tiada kes jangkitan anggota kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disebabkan oleh pengendalian kes positif COVID-19 di fasiliti Kesihatan KKM.
“Mengambil kira situasi semasa, KKM telah menetapkan agar semua anggota kesihatan dan anggota sokongan hospital untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 dan dinasihati semua anggota kesihatan dan barisan hadapan untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti yang telah disarankan,” katanya lagi.
Dalam pada itu orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat berkaitan wabak ini, boleh menghubungi virtual health advisory setiap hari mahupun menghubungi talian CPRC Kebangsaan. Maklumat lanjut mengenai kejadian COVID-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia di https://t.me/cprckkm.