
Laporan/foto: Nurazreen Abd Rahman (Seberang Perai Utara)
BUTTERWORTH, 13 Mac (Malaysiaaktif) -“Komuniti adalah mata dan telinga dalam masyarakat untuk menjadi duta kecil kepada tugas harian Angkatan Pertahanan Awam (APM). APM juga memerlukan kehadiran masyarakat sekeliling untuk memberikan sokongan dan bantuan secara padu kepada anggota APM ketika perlu,” kata Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra, Pengarah APM Negeri Pulau Pinang ketika menyampaikan ucapan di Majlis Hari APM Bersama Pelanggan bertempat di Pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Seberang Perai Utara.
Menurut beliau, program ini diadakan bersempena dengan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke-68 yang akan disambut pada 24 Mac ini dan beliau turut menzahir ucapan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
Pelbagai pengisian serta aktiviti dari pelbagai agensi kerajaan telah diadakan seperti pemeriksaan kesihatan percuma, pemeriksaan gigi, kempen menderma darah, semakan pengundi di kaunter Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, pameran peluang kerjaya dari Kolej Komuniti Seberang Jaya dan juga pameran aset APM seperti dron serta kelengkapan utama yang digunakan dalam operasi menyelamat.
Pejabat Penerangan Daerah Seberang Perai Utara turut bersama pada program berkenaan dan mengambil peluang dengan memberi penerangan mengenai inisiatif kerajaan seperti PeKa B40, mySalam serta edaran risalah kepada orang ramai.
-ii-