Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

COVID-19: Malaysia Siap Siaga Hadapi Gelombang Kedua

By 13 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SUNGAI BULOH, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan Malaysia berada pada tahap siap siaga menghadapi gelombang kedua wabak COVID-19 ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebanyak 12 hospital kerajaan yang mempunyai makmal bersedia merawat pesakit COVID-19 di seluruh negara.

“Manakala 57 buah hospital kerajaan lain di seluruh negara bersedia untuk membuat saringan di samping 11 hospital swasta seperti yang diumumkan sebelum ini.

“Hospital Sungai Buloh merupakan hospital yang dikhususkan untuk wabak COVID-19 dan berada dalam kesiap siagaan paling tinggi, mampu menerima kes sekiranya ia menular dengan pantas.

“Hospital Sungai Buloh mempunyai wad, katil dan kakitangan yang mencukupi serta mampu menerima seramai 772 pesakit dalam satu masa,” katanya semasa sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Sungai Buloh, di sini semalam.

Dr Adham memaklumkan Malaysia dalam keadaan siap siaga menghadapi gelombang kedua wabak Covid-19 ketika ini.

Dr Adham memaklumkan Malaysia dalam keadaan siap siaga menghadapi gelombang kedua wabak COVID-19 ketika ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman dan Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur a/p Prem Singh.

Mengulas lanjut, Dr Adham menyeru agar 5,000 ahli jemaah tabligh Malaysia yang terlibat dalam perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu agar tampil membuat saringan.

“Ada kontak dari Brunei dikesan positif yang mengaku hadir di perhimpunan tersebut dan sehingga kini kita dapat kesan dua kontak positif dalam negara iaitu di Kuantan dan Tawau.

“KKM harap semua jemaah tabligh Malaysia tersebut untuk tampil membuat saringan di hospital dan akan cuba beri keselesaan,” katanya.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kepada semua petugas barisan hadapan yang disifatkan berjaya melaksanakan tugas dengan baik sejak wabak COVID-19 merebak di negara ini.

“Kita nak ucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat, penyedia makanan, pengawal keselamatan dan semua yang terlibat mengekang dan merawat COVID-19 ini.

“Walaupun wujud ketakutan dalam diri mereka sekiranya turut dijangkiti namun mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

-NAZ

 

Tinggalkan komen anda