Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Dana Jaminan Makanan Pastikan Bekalan Makanan Mencukupi

By 28 Mac 2020Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syed Hisham Shah (Putrajaya)/JPM

PUTRAJAYA, 28 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion kepada Dana Jaminan Makanan dalam memastikan bekalan makanan kekal terjamin dan mencukupi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kerajaan akan terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada petani, penternak dan nelayan termasuk dalam bentuk bantuan input pertanian, ternakan dan perikanan untuk menggalakkan pengeluaran domestik.

“Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi menyediakan kemudahan infrastruktur tempat penyimpanan dan pengagihan makanan serta program integrasi tanaman.

“Sebagai langkah tambahan, kerajaan akan menyediakan dana khas antara RM100,000 hingga RM200,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan dan Pertubuhan Nelayan Kawasan yang berdaya maju untuk membangunkan projek agromakanan jangka pendek yang boleh mengeluarkan hasil dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.

“Ini untuk memastikan bekalan makanan terjamin dan langkah ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM64.4 juta,” katanya ketika Perutusan Khas Pakej Rangsangan Ekonomi, semalam.

Menurut Muhyiddin, kerajaan turut memperkenalkan Program Subsidi Upah untuk membantu majikan mengekalkan pekerja.

“Menerusi program ini kerajaan akan menyediakan upah sebanyak RM600 sebulan bagi setiap pekerja untuk tempoh tiga bulan. Program ini dikhususkan kepada pekerja yang berpendapatan di bawah RM4,000 dan majikan yang mengalami penurunan pendapatan lebih 50% sejak 1 Januari 2020.

“Majikan perlu memastikan mereka tidak membuang pekerja atau mengarahkan mereka mengambil cuti tanpa gaji bagi tempoh tiga bulan selepas program ini dilaksanakan, majikan juga tidak dibenarkan memotong gaji sedia ada perkerja. Langkah ini dijangka memanfaatkan 3.3 juta orang pekerja dengan peruntukan sebanyak RM5.9 bilion,” tambahnya.

Tinggalkan komen anda