
Laporan/foto: Ku Nurul Sham Ku Isa/Muhd Shafiq Mydin Shah (Langkawi)
LANGKAWI, 2 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua Pengarah Jabaran Laut Malaysia Datuk Baharin Abdul Hamid, menjelaskan jabatan tersebut telah memperketatkan kawalan kemasukan kapal dari luar termasuk kapal-kapal persiaran serta memantau beberapa jeti dan terminal feri yang menjadi tumpuan pelancong bagi mencegah penularan wabak COVID-19.
“Jabatan Laut bekerjasama rapat dengan pejabat kesihatan daerah serta negeri dan Pihak Berkuasa Kesihatan Pelabuhan dalam memantau pelancong-pelancong asing yang memasuki negara melalui laluan Terminal Penumpang Antarabangsa.
“Terminal Kapal Cruise termasuk di Jeti Penumpang Kuah turut dipasang pengimbas terma untuk tapisan kesihatan,” katanya dalam Kempen Kesedaran Menangani Penularan COVID-19 Peringkat Nasional di Jeti Penumpang Kuah, di sini semalam.
Baharin turut berharap agar masyarakat menitikberatkan soal kesihatan terutamanya ketika berada di tempat awam.
“Diharap dengan perlaksanaan kempen ini sedikit sebanyak dapat membantu dan menyumbang kepada usaha-usaha kerajaan dalam mencegah dan mengawal penularan wabak COVID-19.
“Secara tidak langsung kempen sebegini dapat mendidik masyarakat untuk lebih prihatin menjaga kesihatan dan kebersihan diri,” tambahnya.
-SH